Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Julia terkenang sahur di Amerika


Apabila bercakap mengenai topik bersahur, setiap orang pasti mempunyai kisah dan kenangan bersahur masing-masing.
Begitu juga dengan golongan selebriti beragama Islam kita yang tidak terkecuali dengan pelbagai cerita manis dan juga pahit. 
Berkongsi kisah bersahur, pelakon Julia Ziegler berkata, memori ketika menyambut Ramadan di Amerika Syarikat sedekad yang lalu masih segar dalam ingatannya hingga kini. 

“Kalau nak buka cerita mengenai sahur, kenangan ketika melanjutkan pelajaran ke negara itu sepuluh tahun lalu memang tak boleh dilupakan.

“Ketika itu, saya bersendirian di rantau orang. Pengalaman bersahur tanpa keluarga di sini memang berbeza. Walaupun rindu dan sepi berjauhan, saya kena juga belajar berdikari,” katanya.

Pelakon filem Jangan Tegur ini berkata, keadaan itu turut mengajarnya bersederhana dalam menunaikan Rukun Islam ketiga itu termasuklah pemilihan juadah ketika bersahur. 

“Biasanya saya suka bersahur awal. Selama ini, saya akan bersahur sebelum tidur iaitu kira-kira jam 2 atau 3 pagi. 

“Saya jarang ambil makanan yang berat ketika bersahur. Biasanya saya hanya ambil makanan berserat tinggi seperti pisang, bijirin dan kurma. Minuman pula sekadar tiga gelas air suam,” katanya. 

Mengenai aktiviti terbaru, Julia baru saja menyelesaikan komitmen penggambaran drama bersiri 26 episod berjudul Kalau Dah Perempuan untuk siaran RTM.
-Hmetro
0 Komentar untuk "Julia terkenang sahur di Amerika"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info