Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Kuartet anak wayang



BERBICARA dalam bahasa industri dan filem yang mereka sayangi, empat sekawan Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi dan Megat Shahrizal mempunyai agenda yang tidak dapat dilenturkan. Dalam kemeriahan industri perfileman Malaysia yang lazimnya mahu hadir dalam warna-warna ceria dan bersifat komersial, ada banyak sisi lain yang sedang dilupakan sebahagian kelompok pengkarya sedia ada.
Ketepikan sementara soal kutipan tiket yang selalunya mengecewakan karyawan filem itu sendiri, sebagai pelakon dan dalam masa yang sama sebagai penggemar filem tegar, ada banyak persoalan tidak kurang juga benih kekecewaan yang bersarang di dalam kepala mereka.
Mereka mahu berkarya dan sekiranya karya yang mahu mereka lestarikan itu tidak mampu membentuk sejalur aliran, setidak-tidaknya ia boleh membuahkan pemikiran. Secara kebetulan yang sememangnya menjadi momen bermakna buat mereka, keterlibatan bersama dalam karya yang berjudul Bikin Filem itu sangat seiring dengan kecintaan mereka.
"Kalau kita lihat sebelum ini, sudah ada gelombang baharu yang datang ke dalam industri filem kita. Lihat kembali filem-filem arahan Yasmin Ahmad misalnya, sudah ada gelombang baik yang dibawa ketika itu.
"Bila Yasmin meninggal dunia, hilang sedikit gelombang pembikin filem sebenar. Mungkin kita dapat lihat filem seperti Bunohan dan Songlap yang menunjukkan sisi lain yang boleh kita banggakan. Jadi, kami mahu jadi sebahagian daripada gelombang itu," jelas Eidil Putra yang membawa watak pelakon popular bernama Ijam Ashburn dalam filem yang sudah selesai penggambaran itu.
Tambah pelakon yang dikenali menerusi filem Ngorat itu juga:
"Malangnya, apabila masuk panggung, orang kita pula tak mahu menonton. Walaupun tak banyak kutipan tapi filem macam ini diiktiraf di luar negara. Ramai orang luar yang berbangga dengan produk yang kita hasilkan.
DARI kiri: Megat Shahrizal, Amerul Affendi dan Iedil Putra. Mereka berpendapat penghasilan filem harus menyeluruh dan tidak menjadikan pulangan keuntungan sebagai satu-satunya sasaran pengkarya.


"Untuk terus kuat, kita tak boleh lemah dengan hal-hal macam ini. Selagi penonton ada, ada platform untuk berkarya, semua itu tak jadi masalah besar pada orang industri," katanya yang melahirkan rasa bertuah kerana turut terlibat dalam produksi yang dibiayai oleh Astro Shaw itu.
Berkongsi nada yang sama, Bront yang membawa watak Berg dalam filem arahan Nik Amir itu berkata: "Daripada apa yang kami capai di set Bikin Filem tempoh hari, saya percaya filem ini akan menjadi sebuah filem yang saya mahu berkongsi dengan orang ramai. Sebuah filem yang seronok dan senonoh."
Belum mencanak popular tetapi semangat dan keseriusan yang ditunjukkan oleh pelakon filem Bunohan, Amerul yang banyak tersenyum pula menambah: "Dahulu saya hampir bakar semua sijil yang diperoleh semasa belajar tetapi dengan adanya pembikin seperti Dain Said dan karyawan yang sealiran, kesedihan itu terbalas," katanya sambil merujuk kepada situasi penghasilan filem-filem bercorak ringan yang bermotifkan keuntungan semata-mata.
"Kami tidak marah tetapi jangan meletakkan standard atau satu konsep filem sahaja yang dimahukan oleh audiens," si pembawa watak guru itu bertukar pandangan.
Menoleh ke arah Megat Shahrizal, pelakon yang barangkali masih kurang mesra dalam kalangan peminat hiburan itu begitu kritis menterjemah senario lambakan filem-filem di pasaran ketika ini. Katanya, pembikin filem boleh diumpamakan seperti ibu bapa.
"Jika ibu bapa hanya memberikan satu jenis makanan kepada anak-anaknya, contohnya mi segera. Mi segera itu sedap tapi tidak berkhasiat. Jika mahu anak-anak membesar dan sihat, makanan yang diberi harus bervariasi dan bernutrisi," katanya.
Sama juga hal dengan industri filem tempatan, penonton tidak seharusnya disogokkan dengan filem yang sama.
"Kita kena hasilkan filem yang di luar jangkaan walaupun tak ada bajet yang tinggi. Masih ramai orang di luar sana yang nak buat filem yang betul, bukan filem syok sendiri," luah Megat Shahrizal yang pernah berlakon dalam filem Tanda Putera.
Bikin Filem sebagai tribute
Ditulis oleh Redza Minhat dan diarahkan oleh pengarah filem Kil iaitu Nik Amir, filem yang berkisar tentang semangat empat sekawan yang mahu membikin sebuah filem tentang kemunculan makhluk asing itu seperti mahu mendedikasikannya kepada pembikin filem sedia ada.
Judul Bikin Filem itu sendiri sudah menampakkan asas kepada semangat filem yang diterjemahkan oleh pembikin filem generasi baharu.
"Perkara itu (semangat filem), Redza (penulis skrip) dan Nik Amir (pengarah) yang kena jawab. Semangat sinema yang menjadi penjalin persahabatan kami sama dengan

MEGAT SHAHRIZAL sudah berkecimpung lama dalam teater dan lakonan cuma kurang publisiti.

cerita Bikin Filem. Cuma dalam filem, sekumpulan sahabat yang telah lama berpisah dan semangat itu wujud apabila semuanya terlibat dalam filem ini. Kehadiran Datuk Aziz Sattar, Dain Said dan Mamat Khalid juga menjadi peniup semangat semasa proses penggambaran, karya-karya mereka kami jadikan sebagai pembakar semangat dan inspirasi," kata Bront.
Berbalik soal gelombang pembikin filem generasi baharu, Bront agak ragu-ragu mengenai gelombang yang diperkatakan pada awal perbualan.
"Nafas baharu, wajah baharu. Tapi yang lama tetap ada, dan harus ada. Saya tak nampak pun gelombang sebenarnya, mungkin ombak-ombak yang datang sekali-sekala sahaja, belum cukup konsisten dan impak. Dari segi khalayak pula, situasi sekarang lebih bagus sebab penonton ada filem-filem perisa baharu sebagai santapan, macam ada lauk baharu," katanya ketawa.
Mengajak Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 itu bercakap tentang naskhah dan keseimbangan antara unsur hiburan dan moral, kata Bront:
"Saya rasa fungsi utama filem untuk menghiburkan khalayak, sebab mereka ke pawagam, beratur beli tiket dan luangkan masa dua jam untuk tengok filem sebagai hiburan. Aspek pembelajaran itu disulam melalui penceritaan, tapi pembelajaran bukan santapan utama khalayak pembayar tiket. Kita ada dokumentari untuk itu."
Buah tangan kedua pengarah yang diperkenalkan menerusi Kil itu bukanlah sebuah filem berskala mega namun semangat dan misi karyawan terbabit menunjukkan satu penyatuan. Nama-nama seperti Nadiya Nissa, Sharifah Amani, Siti Saleha terselit bukan sahaja sebagai penyeri bahkan membawa imej komersial kepada naskhah yang seakan-akan bebas itu.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Kuartet anak wayang"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info