Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Nad tak nak jaja

Nad tak nak jaja
Nad tak mahu raih publisiti murahan guna isu hubungan intim dengan pelakon Azwan Kombos

Selama ini, pelakon genit Nad Zainal, tidak pernah menyembunyikan percintaan dengan kekasih hati yang juga seorang pelakon, Azwan Kombos daripada pengetahuan umum. 

Sesekali, Azwan dilihat menemaninya ke lokasi penggambaran. Malah, Azwan dikenali ramai kru produksi yang bekerjasama dengan Nad. Namun, andai diajak berbicara mengenai kisah cintanya dengan jejaka itu yang dikenalinya lebih dua tahun lalu, Nad tidak berminat. 

Bukan disebabkan berlagak atau cuba meletakkan diri dalam kelas tertentu, sebaliknya saya ada alasan sendiri. Saya tidak mahu peminat jelak jika kisah cinta saya terlalu diberi perhatian berbanding kerjaya” Nad Zainal,

Jika Nad lebih senang mengunci mulut tatkala diajak berbicara soal hati, berbeza pula dengan Azwan. Jejaka itu baru-baru ini tidak berselindung bercerita mengenai hubungannya dengan Nad secara terbuka.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya, Kampung Girl, tidak terkejut dengan pendedahan terbuka buah hatinya.

Tidak melenting dengan tindak tanduk Azwan, kata gadis berusia 22 tahun ini, sudah menjadi hak kekasihnya untuk bersuara dan dia tidak ada kuasa menghalang.

“Itu hak Azwan untuk mendedahkan kepada media. Tetapi saya masih Nad yang sama. Saya akan kekal dengan pendirian tidak akan menjaja kisah peribadi kepada masyarakat umum. 
“Bukan disebabkan berlagak atau cuba meletakkan diri dalam kelas tertentu, sebaliknya saya ada alasan sendiri. Saya tidak mahu peminat jelak jika kisah cinta saya terlalu diberi perhatian berbanding kerjaya.

“Lagipun saya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada percintaan ramai teman seperjuangan,” katanya.

Tak pernah lari dari media

Apa yang menarik, Nad bakal berganding dengan Azwan dalam drama Adnan Balik Raya. Bagaimanapun, drama itu bukanlah kolaborasi pertamanya dengan Azwan. Mereka pernah digandingkan dalam dua drama tetapi tidak membabitkan dialog.

Akui Nad, mungkin disebabkan sudah saling mengenali, mereka kekok beraksi di hadapan kamera. Malah, Nad merasakan drama itu menjadi naskhah pertama dan terakhir mereka digandingkan bersama.

Lantaran populariti yang kian melonjak naik sehingga namanya muncul salah seorang finalis Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), timbul dakwaan kononnya Nad mula berubah sikap.

Dia dikatakan bersikap memilih bulu dan tidak mesra media. Namun ia dinafikan Nad. Katanya, dia tidak pernah mengelak bertemu media sebaliknya sebagai pendatang baru, dia berasa rendah diri.

“Saya tidak pernah mengatakan media tidak penting, sebaliknya peranan media penting untuk membantu kerjaya saya. Cuma sebelum ini, saya lebih suka berdiam diri kerana masih baru dalam bidang seni. Apabila digandingkan dengan artis besar, saya jadi malu sehingga membuatkan saya lebih gemar berdiam diri lagipun tiada apa yang hendak dikongsikan.

“Sekarang, apabila sudah ada produk, barulah saya boleh bercakap dengan media. Sekurang-kurangnya tidaklah malu hendak bercerita,” katanya yang tidak berehat sepanjang Ramadan kerana sudah bersetuju berlakon dalam beberapa produksi sepanjang bulan ini.

-Bharian
0 Komentar untuk "Nad tak nak jaja"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info