Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Jangan Pandang Tukang Sapu Sebelah Mata

HULU BERNAM – Ada yang memandang sinis pekerjaan sebagai tukang sapu mungkin kerana keadaan persekitaran dan sudah pasti berkira dengan pendapatan diperoleh mereka.

Namun sedikit sekali yang mengetahui sebenarnya gaji seorang tukang sapu atau pekerja kontrak pembersihan sudah selaras dengan gaji minimum RM900 sebulan.

Bagi Jamaliah Zainal, 45, bekerja sebagai tukang sapu lebih mudah dan selesa berbanding menjadi pembantu masyarakat di tadika.

Jamaliah

“Saya pilih (tukang sapu) mulanya hanya part time. Awal pagi menyapu sampah, tiba office hour saya jadi pembantu masyarakat dan tukang kebun di sebuah tadika di sini.

“Dengan pendapatan sederhana di tadika, sedikit sebanyak dapatlah menampung perbelanjaan bulanan keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Jamaliah berkata, bekerja pada dua waktu berbeza sebenarnya sangat memenatkan.

Katanya, bukan mudah untuk melakukannya, tapi demi menyara enam anaknya, dia sanggup bertahan dan terus berusaha.

“Selepas kerja jadi pembantu masyarakat dan sesekali menjadi tukang kebun di sebuah tadika dengan pendapatan RM250 sebulan, saya rasa kurang berbaloi. Jadi, terpaksa berhenti tadika.

“Di rumah tiada siapa yang membantu. Ini saja pilihan. Saya tinggalkan (kerja di tadika) awal tahun ini. Memang seronok jaga budak-budak tapi terpaksa tinggalkan,” katanya.

Jamaliah berkata, bekerja sebagai tukang sapu pada mulanya agak memalukan kerana memegang penyapu, namun dia memandang positif bahawa pekerjaan itu halal dengan gaji dianggap menarik.

Malah katanya, pekerjaan itu menyihatkan badan dan tiada tekanan kerana bekerja di waktu dinihari hingga melepasi subuh.

“Waktu kerja jam 8 pagi hingga 5 petang, tapi biasanya ada kelonggaran. Jadi saya mula seawal jam 4.30 pagi dan berhenti seketika untuk menghantar anak ke sekolah.

“Saya pilih keluar awal pagi kerana sejuk, lengang, selesa dan tidak banyak gangguan,” katanya.

Jamaliah berkata, sesekali dia dicuit murid-murid dengan jeritan bertanya khabar dan dianggap menggelikan hatinya.

Menurutnya, selama hampir empat tahun bekerja, hanya gangguan kumpulan kaki botol dianggap menakutkan, selain nyalakan anjing-anjing liar.

Namun katanya, sesuatu menyeronokkan dan sudah dianggap rezeki apabila menemui wang tunai berjumlah antara RM10, RM20, RM50 dan paling tinggi RM300 ketika menyapu sampah, malah kadangkala dia turut menemui barangan kemas, telefon bimbit serta pelbagai barangan berharga lain.

Sumber : Sinarharian
0 Komentar untuk "Jangan Pandang Tukang Sapu Sebelah Mata"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info