Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK), Mergong di sini meninggal dunia ketika bertadarus al-Quran di sekolah itu bersama pelajar lain pagi tadi.
Mangsa Ku Mohammad Iqbal Ku Md Akhir, 14, dari Kampung Alor Buluh, Lorong Liku, Jalan Datuk Kumbar di sini meninggal dunia 7.35 pagi dalam surau sekolah itu.
Penolong Kanan Kokurikulum SMKAK Johari Jaafar berkata Mohammad Iqbal sedang bertadarus al-Quran bersama pelajar lain dan tiba-tiba rebah serta tidak sedarkan diri.
“Sekolah menghubungi ambulans untuk memeriksa Mohammad Iqbal dan disahkan oleh kakitangan perubatan bertugas yang dia telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Johari berkata tadarus al-Quran merupakan rutin harian pelajar sekolah itu sempena bulanRamadan sebelum memulakan sesi pembelajaran seperti biasa.
Abang mangsa, Ku Muhammad Luqman, 22, berkata pihak sekolah menghubungi ayahnya Ku Md Akhir Ku Hamid, 49, memaklumkan perkara itu 7.50 pagi tadi sebelum ibunya Fatimah Ahmad, 51, pergi ke sekolah untuk melihat keadaan adiknya.
Katanya jenazah adik bongsu daripada lima beradik itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Gelam di sini selepas solat Asar.
Jenazah mangsa sebelum itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan masih menunggu laporan bedah siasat.
Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata pihaknya masih menunggu keputusan ujian makmal untuk mengenal pasti punca kematian. – BERNAMA
0 Komentar untuk " Pelajar Tingkatan 2 Meninggal Ketika Bertadarus"