Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Waspada Dengan Akaun Facebook Palsu Tawar Kerja


SENAI – Polis meminta orang ramai supaya berwaspada terhadap satu akaun palsu di laman sosialFacebook yang menawarkan pekerjaan di jabatan-jabatan kerajaan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM750.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai sebuah akaun Facebook palsu yang menggunakan identiti seorang wanita bagi menipu orang ramai.

Menurutnya, ada seorang wanita tampil membuat laporan apabila mendapati nama, gambar dan butiran peribadinya digunakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar di Facebook sebagai pegawai berpangkat tinggi di Jabatan Perdana Menteri.

“Wanita itu tampil membuat laporan polis kerana bimbang akaun palsu berkenaan iaitu https://www.facebook.com/datin.maimunah.96 boleh merosakkan nama baiknya dan jabatan kerajaan.

“Akaun palsu itu turut mendakwa bekerja sebagai pegawai atasan di Jabatan Perdana Menteri dan boleh mendapatkan pekerjaan di jabatan kerajaan dengan bayaran RM750,” katanya di sini, semalam.

Sulaiman berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan awam yang mendakwa menjadi mangsa penipuan akaun palsu berkenaan, namun menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati.

“Kesalahan ini merupakan satu fitnah dan perbuatan jenayah menipu. Kita harap orang ramai lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pekerjaan yang dibuat melalui Facebook atau ejen-ejen yang diragui,” katanya. 
sumber:– Sinar Harian
0 Komentar untuk "Waspada Dengan Akaun Facebook Palsu Tawar Kerja"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info