Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Dia Dah Berpunya, Tak Mungkin Saya Kacau - Ayda Jebat

 "Dia sudah berpunya, tak mungkin saya akan kacau perhubungan itu," Begitulah kata pelakon utama Rindu Awak 200 %, Ayda Jebat mengenai gosip mengaitkan dirinya dengan Zul Ariffin.

Tambah Aida lagi, tidak pernah terlintas langsung untuk merosakkan kebahagiaan orang sekalipun beliau masih lagi belum berpunya.

Baginya tidak pernah wujud terma cinta lokasi secara serius membabitkan mereka. Cuma bagi Ayda, beliau melihat gosip sebegitu tak lebih daripada usikan manja untuk menghangatkan lagi drama itu.

"Bagi saya, apabila berlakon yang memerlukan emosi percintaan, perasaan itu perlu kerana sebagai pelakon kita mahu menyampaikan apa yang dirasai. Kalau ada yang suka itu bererti watak Armel Aisya dan Zill Faezrul Iqbal (Zul Ariffin) berjayalah.

"Malah saya berpendapat cinta lokasi itu wujud tapi semuanya atas tuntutan kerja. Tidaklah sampai bercinta. Saya tahu dia ada kekasih. Dalam yang suka, adatlah yang tak suka gandingan kami.

"Saya ada menerima emel yang tak suka kalau wujud hubungan cinta serius antara kami. Tapi bahasa yang digunakan dalam emel itu baik sampai saya tersengih membacanya. Saya faham apa yang mereka tulis itu dan saya tak tergamak jadi orang ketiga," katanya.

"Sebelum drama ini pun saya sudah membintangi banyak drama. Tapi tuah saya bermula dengan drama ini yang banyak membuka peluang saya kepada pendedahan serta promosi di TV dan bersama media.

"Ini juga drama pertama saya di TV3 untuk watak utama. Sebelum ini saya ada berlakon drama Anugerah Terindah juga di saluran sama tetapi hanya watak pembantu. Biarpun ada yang mempertikaikan saya tak layak jadi heroin, saya ambil semuanya dari sudut positif serta pembakar semangat," katanya.

Biarpun sudah dianggap bertuah meraih populariti segera, Ayda menyifatkan elemen itu tidak akan langsung mengubahnya jadi besar kepala dan lupa diri.

"Saya jalani hidup ini macam biasa saja. Macam dulu. Tapi saya selesa jadi diri sendiri. Saya jenis yang banyak cakap dan suka gelak. Pendek kata saya jenis yang 'gila-gila'," katanya.
sumber:kezoom
0 Komentar untuk "Dia Dah Berpunya, Tak Mungkin Saya Kacau - Ayda Jebat"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info