Salah seorang model tersebut ialah penduduk Kampung Kuala Atok, di sini yang juga merupakan seorang bekas askar berpangkat prebet, Zainal Buyong, 81.
Menurut Zainal, Tugu Negara yang asal dibina pada tahun 1958 di mana pemilihan model untuk membuat ukiran itu dilakukan secara rawak.
“Suatu hari, kami sepasukan askar yang bertugas di Kuala Lumpur didatangi seorang tukang ukir Australia yang berpangkat sarjan.
“Ketika itu sarjan itu hanya menuding jari kepada kami berlima, Saya tanya pada sarjan itu kenapa pilih kami, dia jawab arahan dari Ratu Elizabeth supaya menggunakan model askar sebenar sebagai panduan untuk membuat ukiran Tugu Negara terbabit,” katanya.
Tambahnya, dia diminta untuk memegang bendera asal Jalur Gemilang yang tidak mempunyai bintang ketika itu di sebelah kanan tangannya, manakala tangan kirinya diminta untuk mengangkat sedikit sebagaimana patung teratas yang memegang bendera di Tugu Negara terbabit.
“Ketika itu, lima orang askar terpilih termasuk saya. Saya masih ingat dua askar yang berasal dari Kedah. Seorang bernama Ramli dengan nombor tentera 9408 manakala seorang lagi jika tidak salah namanya Hashim dengan nombor tentera 9409.
“Saya ingat mereka berdua kerana nombor tentera mereka hampir sama dengan saya iaitu 9406. Saya tidak ingat nama dua lagi askar yang terpilih dan saya cuma ingat dua lagi itu berasal dari Johor. Tidak tahu sama ada mereka masih hidup atau sudah tiada,” katanya.
Zainal atau juga dikenali dengan nama Sanor dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Atok juga berkata, dia tidak menceritakan kepada sesiapa kisah dirinya yang merupakan model Tugu Negara.
Namun dikatakan kisahnya mula terbongkar ketika dia ke Kuala Lumpur untuk memohon bantuan membaiki rumah dari Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kerana rumahnya yang rosak teruk akibat dihempap pokok durian, tahun lalu.
“Sebaik sahaja mereka mendapat tahu saya merupakan model Tugu Negara yang mereka cari selama ini, mereka telah membantu saya dengan membina rumah baru bagi menggantikan rumah saya yang rosak teruk itu.
“Saya tidak menyangka akan terima penghargaan sebegini rupa dan berterima kasih kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan JHEV kerana telah menyediakan rumah ini yang siap sepenuhnya sekitar Mac lalu,” katanya.
Bapa kepada tujuh orang anak ini juga tidak pernah menceritakan pengalaman itu kepada anak-anaknya sebaliknya anaknya mengetahui kisah bapa mereka itu melalui satu keratan akhbar yang disiarkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun lalu.
Anaknya, Sulaiman Bakhtiar Zainal, 36, berkata, dia amat terkejut melihat wajah ayahnya yang terpampang di dada akhbar kerana bapanya tidak pernah menceritakan tentang dirinya yang pernah menjadi model Tugu Negara.
“Saya belek surat khabar dan terkejut melihat gambar ayah saya. Selepas itu, barulah dia buka mulut dan bercerita kepada kami.
“Sebagai anak, tentulah saya berasa bangga dengan apa yang dilakukan oleh ayah saya dan berharap dapat mewarisi sejarah ayah saya ini kepada generasi kami yang seterusnya,” katanya.
Menurutnya, Tugu Negara yang dibina kini sedikit berbeza berbanding pada hari ia mula dibina pada tahun 1958 terutama dari sudut saiz bendera yang lebih besar berbanding asalnya.
Tidak hanya pernah menjadi model Tugu Negara, Zainal juga tidak dapat melupakan beberapa detik pahit manis ketika menjadi askar bermula tahun 1952 sehingga tamat perkhidmatan pada tahun 1961.
“Ketika mula menjadi tentera, umur saya ketika itu baru 20 tahun. Saya dan seorang lagi rakan dari Kampung Kuala Atok, Zakaria, menyertai tentera ketika itu.
“Saya menjalani latihan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan kemudiannya dihantar menyertai Batalion ke-5 di
Kem
Lapangan Terbang Kepala Batas, Kedah sebelum dipindah ke Johor dan kemudiannya ke Kuala Lumpur,” katanya.
Kata Zainal, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika berperang menentang Komunis di Gunung Bongsu, Kedah pada tahun 1955.
“Ketika sedang melakukan operasi, saya terdengar seperti bunyi senapang yang tidak meletup. Saya memaklumkan kepada ketua operasi kami Mejar Speller berkaitan perkara terbabit.
“Sebaik diperiksa, kami menemui beberapa butir peluru senapang tidak meletup di atas tanah. Peluru senapang itu seperti telah diketuk menyebabkan ia tidak dapat meletup.
“Mejar Speller yang pelik melihat keadaan terbabit mengatakan saya telah menggunakan ilmu hitam bagi mematahkan serangan komunis. Saya tidak kata ia ilmu hitam, tapi boleh dikatakan askar Melayu ketika itu ramai yang memiliki ilmu kebal.
“Kerana ingin mempelajari ilmu kebal terbabit, Mejar Speller meminta saya mengikutnya pulang ke England. Malah Mejar Speller sanggup memeluk Islam kerana ingin menuntut ilmu terbabit sebagai salah satu syarat namun saya enggan mengikutnya kerana sayangkan
tanahair,” katanya.
Selain itu, antara pengalaman lain ialah Zainal dikatakan pernah dipenjara selama seminggu di lokap dikenali sebagai ‘Guard Room’ kerana dikatakan melaung seruan 'Merdeka'.
“Kejadian terbabit berlaku di
Kem
Kepala Batas pada tahun 1956. Suatu hari saya mendengar laungan orang kampung menyebut perkataan 'Merdeka', dan kemudian saya menyahut seruan terbabit.
“Seorang tentera British berpangkat RSM (Sajan Mejar Rejimen) memarahi saya kerana melaungkan perkataan terbabit sedangkan Tanah Melayu ketika itu masih di bawah jajahan mereka. Disebabkan itu saya dipenjarakan,” katanya,
Tambahnya, dia pernah dihujani peluru ketika berada di medan perang menentang Komunis di Gunung Bongsu, Kedah suatu ketika dahulu.
“Ketika itu kiri kanan terdengar bunyi tembakan yang tidak berhenti. Kejadian tembak menembak itu berlaku selama 45 minit. Dalam tempoh itu, saya berjaya membunuh tiga tentera pengganas Komunis,” katanya.
Menurutnya, atas jasa berkhidmat kepada negara, dia dan rakan seperjuangan ketika itu menerima pingat GSW atau kini dikenali sebagai Pingat Perkhidmatan Am (PPA).
sumber:kezoom
0 Komentar untuk "Kisah Seorang Model Tugu Negara "