Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Pokok Apa Yang Ditanam Tepi Jalan Sampai 2 Nyawa Melayang?


Andai berlaku kematian, maka kita akan berkata itu sudah ajal.

Betul.

Namun, andai kematian itu berlaku atas sebab yang kita harus persoalkan dan menimbulkan keraguan, apakah kita harus dengan pantas masih berkata itu sudah ajal dan terus melupakannya?

Kalau begitu, mangsa pembunuhan juga tidak perlu disiasat siapa pembunuhnya kerana sudah ajal yang mati itu.

Adakalanya kita mengambil jalan mudah dengan hanya berkata sudah ajal tanpa kita berusaha untuk memperbaiki dan mempersoalkan kenapa kematian itu berlaku.

Bukan kita mempersoalkan takdir tuhan tetapi sebagai ciptaan Allah yang dikurniakan akal fikiran (yang membezakan kita dengan haiwan), kita harus mempersoalkan sesuatu kejadian itu dalam konteks mengapa ia berlaku dan apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkannya.

Hari ini kita dihidangkan dengan berita Dua Remaja Maut Dihempap Pokok Di Kuantan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.10 petang kelmarin itu, kedua-dia mangsa, Muhammad Lokman Hakim Ismail, 19 dari Lorong Sungai Isap Perdana 32 dan Tun Muhammad Fakharuddin Mohd Jailani, 19 dari Lorong IM15/29, Taman Mutiara Mahkota disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, Muhammad Lokman merupakan pelajar tingkatan enam sebuah sekolah menengah di Kuala Lipis manakala Tun Muhammad Fakharuddin, penuntut Kolej Komuniti Indera Mahkota.

Menurutnya, ketika kejadian kedua-dua mangsa yang menunggang secara berasingan dipercayai dalam perjalanan dari arah pelabuhan menghala ke Indera Mahkota.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebatang pokok yang berada di bahu jalan tiba-tiba tumbang lalu menghempap motosikal jenis Yamaha LC135 dan Honda Ex-5 ditunggang mangsa.

“Akibat kejadian, kedua-dua penunggang yang terjatuh dan dihempap pokok tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi pihak media.

Persoalanya… pokok apa yang ditanam di tepi jalan raya sehingga ia tumbang dan mengorbankan dua remaja yang masih terlalu muda itu?

Mereka bukan kacau sesiapa, hanya menungang motosikal dan tiba-tiba ada pokok yang tumbang dan nyawa mereka melayang.

Bayangkang perasaan keluarga mereka.

Kalau kita ambil pendirian itu sudah ajal mereka… malas nak bertindak lanjut dan fikir… maka noktah la…

Biar sahajalah ia terjadi… dan biarlah kejadian seperti itu terus berulang sehingga kita atau sanak saudara pula jadi mangsa.

Percayalah, apa yang berlaku di Kuantan itu bukan kejadian pertama dan penulis amat yakin bukan yang terakhir.

Sudah berapa puluh kali kita dengar dan membaca di media mengenai kematian di jalan raya akibat pokok tumbang atau dahan patah.

Tiba masanya kita mempersoalkan kejadian seumpama ini dan mengapa ia kerap berlaku.

Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena jenis pokok yang ditanam di tepi-tepi jalan di seluruh negara.

Andai tidak ada penyelesaian yang dapat dicari berhubung masalah berkenaan, adalah lebih baik diambil pendekatan agak jangan lagi ditanam pokok besar di tepi jalan.

Kalau mahu cerita pasal alam sekitar, baik dipertahankan hutan-hutan tropika kita yang dijarah macam orang gila oleh pembalak-pembalak yang ada hubungan politik atau istana.

Alam sekitar itu yang kita perlu pertahankan, bukan alam sekitar setakat pokok tanam sebaris kat tepi jalan.

Kalau nak cerita pasal keindahan, baik buang pokok-pokok di tepi jalan dan ditanam dengan rumput serta bunga dan paling penting, kuat-kuasakan undang-undang anti-pembuangan sampah dari dalam kenderaan.

Kalau tidak ada sampah-sarah dibuang di tepi-tepi jalan, maka ia akan lebih indah.

Tanam pokok besar tepi jalan ini idea pengindahan yang sudah lapuk.

Tidak bawak ke mana dan hanya menyumbang kepada kematian saban tahun.

Faktor cuaca negara kita yang sering berangin dan hujan lebat seharusnya menjadi titik tolak kepada pihak yang merumus polisi agar berfikir adakah menanam pokok di tepi-tepi jalan satu langkah pengindahan yang sesuai.

Sepatutnya tidak ada satu kematian pun yang patut berlaku akibat pokok di tepi jalan. Namun ia berlaku berulang kali dan kita menerimanya dengan hanya berserah sebagai ajal.

Cukup-cukuplah… tiba masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan harus bertindak.

Andai kedua pihak itu tidak mahu, maka kita boleh bertindak dengan mengemukakan saman ke atas PBT yang menanam pokok yang jenis mudah tumbang dan membahayakan nyawa pengguna jalan.

Sesuatu harus dilakukan… jangan hanya mengambil jalan mudah dengan berserah sepanjang masa
sumber- MYNEWSHUB
0 Komentar untuk "Pokok Apa Yang Ditanam Tepi Jalan Sampai 2 Nyawa Melayang?"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info