Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Rokok naik harga bagus, 10,000 rakyat Malaysia mati kerananya setiap tahun


Bahaya rokok putih termasuk rokok elektronik yang sangat memudaratkan dan membazir wang sendiri malah kerajaan kerana merawat pelbagai macam penyakit akibat merokok yang jelas haram. Bertindak sebelum terlewat dan mungkin kementerian kesihatan perlu memberi perkhidmatan berhenti merokok secara percuma juga.
Kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat komplikasi penyakit seperti jantung, paru-paru serta pelbagai jenis kanser yang berpunca daripada tabiat menghisap rokok.

Menurut pakar perunding perubatan terkenal, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad, angka tersebut merupakan hasil penyelidikan sebuah pusat pengajian tinggi terkenal negara pada tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun komplikasi penyakit akibat penggunaan tembakau itu tidak menunjukkan kesan serta-merta, ia akan memudaratkan para penghisap rokok dalam jangka panjang selaras dengan peningkatan umur mereka. Kosmo / Foto kredit abunyer.com

Laporan Bernama:

KOTA KINABALU – Kira-kira 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia akibat menghisap tembakau setiap tahun, kata Dr Amer Siddiq Amer Nordin, penyelaras Pusat Penyelidikan dan Kerjasama Ketagihan Nikotin (NARCC), kumpulan penyelidikan mengenai penagihan nikotin Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS).

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang membimbangkan, beliau berkata, angka tersebut mungkin hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada keadaan sebenar.

“Jumlah mereka mungkin lebih ramai. Sebagai contoh, bagi tiap seorang yang dikenal pasti, mungkin sembilan (kes) lagi yang tidak dikenal pasti atau dilaporkan dan kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia menghisap tembakau setiap hari… ini bererti ia mungkin mengakibatkan lebih banyak kematian pada masa akan datang.

“Apabila kita bercakap tentang kesan daripada menghisap tembakau, terlintas di fikiran kita tentang kanser. Tetapi, ingatlah bahawa menghisap tembakau juga merupakan faktor utama atau penyumbang bagi pelbagai penyakit jantung dan paru-paru serta pelbagai jenis kanser.

“Sebenarnya, ia merupakan penyebab utama bagi apa jua penyakit yang kita hadapi di hospital,” katanya pada sidang akhbar bersempena Simposium Pengawalan Tembakau Sabah 2013 di kampus utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Likas dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Institut Inovasi Kesihatan Kebangsaan (NIHI) dan Pengarah Bersama Turanga Tobacco Research Group di University of Auckland, New Zealand Prof Dr Christopher Bullen; prof madya di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Universiti Malaya Dr Farizah Mohd Hairi; Dekan Pengasas Lincoln University College Dental School Dr Rahimah Abdul Kadir; Timbalan Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit di Jabatan Kesihatan Sabah Dr Nirmal Kaur dan pakar perubatan keluarga Dr Fauzia Abd Majid.

Dr Amer Siddiq berkata, kajian menunjukkan sebahagian besar peruntukan bagi kesihatan hanya bertumpu pada tiga penyakit utama – penyakit jantung, paru-paru dan kanser.

“Ini bererti sekiranya kita dapat menyekat amalan menghisap tembakau, mungkin kita dapat mencegah masalah kesihatan lain daripada berkembang dalam tempoh terdekat.

“Jika kita merokok hari ini, kesannya tidak kelihatan esok, selalunya ia kelihatan selepas 10, 20, 30 tahun kemudian dan sekiranya kita mempunyai jumlah penghisap tembakau yang ramai sekarang, kita akan hanya dapat melihat masalah sebenarnya 20 tahun akan datang apabila kita dapati ramai orang yang mengalami penyakit jantung dan kanser dengan tiba-tiba datang untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan daripada kita,” katanya sambil menambah bahawa sesetengah perokok adalah remaja.

Oleh itu, Dr Amer Siddiq mengalu-alukan usaha menganjurkan Simposium Kawalan Tembakau Sabah oleh UMCAS, UMS dan Hospital
Queen ElizabethKota Kinabalu.

Beliau berkata, simposium ini bertujuan memperkenalkan aktiviti pengawalan tembakau kepada seramai mungkin penyedia penjagaan kesihatan di Sabah serta mereka yang berminat tentang pengawalan tembakau, sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Rangka Kerja bagi Pengawalan Tembakau (FCTC) yang ditandatanganinya pada 2005. – Bernama
sumber: http://malaysianreview.com/
0 Komentar untuk "Rokok naik harga bagus, 10,000 rakyat Malaysia mati kerananya setiap tahun"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info