Jurucakap Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal, ketika dihubungi mengesahkan mangsa, Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, (gambar) penolong jurutera PPj, meninggal dunia jam 7.15 malam waktu Malaysia, kelmarin, ketika berada di Labuche dalam perjalanan ke Everest Base Camp.
Seorang lagi koma
Bagaimanapun, katanya, usaha membawa keluar jenazah dan rakannya dari kawasan Labuche pada ketinggian 4,100 meter dari aras laut menghadapi kesukaran berikutan cuaca buruk, berawan dan ribut salji.
Ekspedisi Gunung Kala Patthar dan Everest Base Camp yang bermula 27 Mei lalu hingga 10 Jun ini disertai 14 kakitangan PPj termasuk 11 lelaki dan tiga wanita mewakili Kelab Sukan dan Kebajikan PPj (KRISSputra).
Timbalan Pengarah Kanan Komunikasi Korporat PPj, Zaharah Salamat, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kematian Mohammad Shahrulnizam jam 1.30 petang, kelmarin.
Katanya, sebaik menerima maklumat, perbadanan terus menghubungi Wisma Putra bagi menyelaras usaha menyelamat mangsa bersama Pejabat Perwakilan Malaysia di Kathmandu, namun terhalang akibat cuaca buruk.
“Usaha membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan segera gagal kerana cuaca buruk dengan awan tebal menghalang helikopter ke lokasi insiden. Klinik perubatan di Pheriche juga ditutup kerana musim pendakian utama tamat,” katanya.
Bawa pulang jenazah
Katanya, PPj dan wakil Wisma Putra sedang berusaha menerbangkan jenazah kembali ke tanah air secepat mungkin selepas segala urusan berkaitan selesai.
“Susulan insiden terbabit, perbadanan mengarahkan semua pendaki ekspedisi membatalkan rancangan ke Everest Base Camp dan pada masa kini selamat tiba di Pheriche, kira-kira lima jam dari Labuche. Sehingga kini, semua pendaki dilaporkan dalam keadaan stabil dan selamat.
“Atas dasar keprihatinan terhadap warga kerja PPj dan ahli keluarga mereka, PPj diwakili Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Muhamad Haitamin Ishak dan Ahli Jawatankuasa (AJK) KRISputra melawat keluarga mangsa hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, bapa tiri kepada Mohammad Shahrulnizam, Mohd Zaini Basron, 51, berkata, beliau sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham.
“Arwah begitu teruja sebaik mendapat tahu terpilih sebagai peserta mendaki Gunung Everest, namun tidak sangka ajal arwah tiba ketika melakukan aktiviti digemarinya itu,” katanya.
Beliau berkata, dua hari sebelum anaknya itu bertolak ke Nepal, mereka sekeluarga sempat mengadakan majlis doa selamat.- Berita Harian
0 Komentar untuk "Jurutera Perbadanan Putrajaya daki Everest maut"