Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

2 rakan ke mahkamah dituduh bunuh rakan sekerja



KUANTAN - Dua pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan menyebabkan kematian rakan sekerja dalam satu pergaduhan 27 Jun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Khairul Jasmi Abdul Majid, 33 dari Lorong Sungai Isap Perdana 20 dan rakannya, Mohd Amir Adzhar Hassan, 28 dari Felda Chini 4, Pekan.

Sebelum itu, mereka berdua mengaku faham terhadap kertas pertuduhan yang dikemukakan  Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menyebabkan kematian rakan sekerja, Mohd Zainuddin Mohd Yusoff, 42 antara jam 12 hingga jam 12.20 tengah hari di satu kawasan lapan berhampiran stesen minyak Kampung Cendering, Jalan Pintasan Kuantan dekat sini.

Akibat perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Farahah memaklumkan pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan mereka terpaksa ditahan reman di Penjara Penor sehingga 19 Ogos depan yang ditetapkan untuk sebutan laporan kimia kes tersebut.

Sebelum ini kedua-dua tertuduh ditahan polis beberapa jam selepas penemuan mayat mangsa bagi membantu siasatan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

-Sinar harian
0 Komentar untuk "2 rakan ke mahkamah dituduh bunuh rakan sekerja"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info