Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Akui senang berkawan rapat



GANDINGAN aktres Hanez Suraya bersama seorang pelakon muda dari Korea Selatan, Kim Jin Sung menerusi drama Autumn Di Hatiku ada cerita di sebaliknya.
Mereka tiba-tiba sahaja digosip kini sedang menyulam cinta.
Tidak mudah melatah, kata Hanez, dia mengerti dan memahami reaksi peminat yang senang meletakkan kesimpulan setiap kali seseorang pelakon digandingkan bersama menerusi filem atau drama.
Ujarnya, Jin Sung atau lebih mesra dipanggil JS merupakan seorang yang mudah serasi dan komited terhadap perhubungan biarpun sekadar berkawan.
Malah, pelakon baharu dari Korea itu memerlukan bimbingan daripada Hanez.
"Belum pun Autumn Di Hatiku ditayangkan, kami sudah dikaitkan ada hubungan istimewa. Sejujurnya, JS seorang yang kelakar, bagus, rajin belajar dan tidak mengambil kesempatan.
"Cara dia berkomunikasi dengan kita pun ada adab sopan. Saya banyak mengajar dia untuk mendalami bahasa Melayu dan memahami skrip," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar dan ramah mesra bersama pelakon Autumn Di Hatiku di Laundry, The Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Pertama kali bersua dengan JS, kata Hanez, dia menyangka jejaka itu berketurunan Cina sehinggalah mereka mula berkomunikasi.
"Tambah memeranjatkan apabila JS pandai berbahasa Melayu. Saya cuba buli dia dengan merakamkan sebuah video Keek dan sejak itu kami mula rapat.
"Keserasian kami dapat sejak dari sesi bacaan skrip lagi dan JS cepat menghafal skrip serta tidak segan bertanya," tambahnya.
Kawan tak cinta
Kesempatan sama diluangkan bersama pelakon tinggi lampai dari daerah Gangnam di Korea Selatan itu.
MESRA. Hanez lebih senang memanggil Jin Sung dengan nama ringkas, JS.


JS yang sebelum ini pernah menceburi bidang peragaan mengakui agak kekok pada mulanya untuk berlakon bersama produksi Malaysia.
"Saya seronok dan teruja menimba pengalaman baharu bersama pelakon dan tenaga kerja di Malaysia. Seolah-olah saya sukar untuk mempercayai situasi ini sekarang.
"Selama dua bulan saya berada di sini (Kuala Lumpur), banyak perkara sudah saya pelajari dan kalau ditawarkan untuk berlakon lagi selepas ini, mungkin saya akan tinggal lebih lama," ujarnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia.
Pemuda berusia 27 tahun itu sebelum ini pernah mendalami bahasa Melayu selama setahun di Pengajian Asia, Universiti Hankook dan telah menceburi dunia seni sejak empat tahun lalu.
Biarpun namanya tidak gah seperti aktor lain di negara asalnya, kemunculan JS menerusi Autumn Di Hatiku tetap mencuri tumpuan peminat hiburan Korea.
Mencintai suasana dan masyarakat di Malaysia, JS bagaimanapun tidak menolak untuk meneruskan kerjaya atau membeli aset di sini.
Diusik dengan pertanyaan keserasiannya dengan pelakon Hanez Suraya, JS mengakui dia selesa berkawan dengan bekas kekasih Awi Rafael itu.
"Saya belajar skrip dan bahasa Melayu daripada Hanez. Saya sukakan dia tapi tidak mencintainya. Hanez hampir sesuai untuk memiliki ciri-ciri wanita idaman saya.
"Cita rasa saya ialah terhadap seorang wanita yang tinggi, pandai dan cantik," luncur katanya bertebar ketawa.
Hanez sayang Awi
Diselak pula kisah cinta tak kesampaian Hanez dan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael yang dilaporkan telah putus secara rasminya pada minggu lalu, Hanez mengakui dia masih sayangkan Awi.

Barisan pelakon Autumn Di Hatiku (dari kiri) Ezzaty, Kim Jin Sung, Hanez Suraya dan Anaz Ridzuan.


Bagaimanapun, ruang hidupnya masih tidak berubah dan kini dia cuba untuk menjadikan persekitaran kerja mengatasi rasa sunyi.
"Selepas berpisah saya lebih sibuk dan bergerak ke mana-mana sahaja. Lainnya sekarang sudah tiada peneman dan tiada orang yang menelefon atau bertanyakan khabar.
"Sebenarnya hubungan kami sudah lama dingin cuma sekarang baru terlepas mulut. Hati sudah boleh menerima keadaan sekarang cuma pada mulanya memang agak sukar bagi saya.
"Kami cuba menyelesaikan masalah sebelum ini sampai tidak boleh mencuba lagi," katanya yang sudah berpisah sebulan lalu.
Hanez dalam pada itu menafikan khabar angin bahawa punca keretakan hubungan cintanya bersama Awi disebabkan orang ketiga. Sebaliknya, akui Hanez, kesibukan kerja masing-masing menjadi bom masa yang dipendam sehingga satu ketika meletup.
"Hubungan saya dan keluarga Awi masih rapat cuma antara kami berdua yang bermasalah. Kami sudah mencuba sedaya upaya untuk memperbaiki hubungan.
"InsyaAllah kalau ada jodoh saya dengan Awi, ia tidak akan ke mana juga. Buat masa ini masih belum terlintas untuk berbaik semula.
"Saya sangat sayangkan Awi walaupun hubungan kami baru setahun. Mungkin kerana kami terlalu rapat dan kini adalah sukar untuk saya menerima individu lain. Berilah saya masa," ujarnya.
-Kosmo.com.my

0 Komentar untuk "Akui senang berkawan rapat"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info