|
BIARPUN diperlekeh dengan jolokan pelakon air mata, Eira Syazira tetap bersyukur kerana hasil seni lakonnya mendatangkan impak. Di luar lokasi, bicaranya ramah dan tidak pula cengeng biarpun sesekali terusik oleh kerinduan Ramadan yang pernah dijalani bersama arwah ibunya, Che Ruhani Che Hassan, 60.
Dia reda namun seutuh manapun hatinya menahan perasaan, sayu dan hiba tetap berkunjung. Kepulangan arwah ibunya ke rahmatullah pada Mei lalu masih berbekas di hati. Ramadan kali ini merupakan bulan puasa pertama Eira tanpa ibu sewaktu bersahur atau berbuka puasa.
“Sebelum masuk bulan Ramadan, saya jadi takut, takut untuk tempuhi bulan puasa tanpa mummy (panggilan untuk ibu) biarpun dia sebenarnya tidak begitu sihat sejak tahun lepas lagi. Sekarang bila saya balik ke rumah di Putrajaya rasa kosong. Bila tengok wajah ayah yang sayu, hati saya turut rasa sayu.
“Jadi, kedatangan Ramadan tahun ini memang berbeza dan sangat-sangat dirasai. Kehilangan mummy satu kekosongan buat kami adik-beradik,” ujar Eira seperti ada sebak di kerongkong.
Tambah Eira: “Ibu seorang yang cukup hebat di dapur. Dia pakar memasak khususnya masakan Kelantan macam nasi kerabu. Namun, saya reda dengan ketentuan Ilahi, tidak akan selama-lamanya seorang ibu akan berada di samping anak-anak. Mungkin ini semua ujian buat kami, tetapi Tuhan Maha Adil, Dia ambil ibu tetapi Dia kurniakan saya seorang anak sebagai pengubat duka,” jelas Eira yang kini bahagia mengulit Amarra Sofea Rose berusia enam bulan, hasil perkahwinannya bersama pelakon Azad Jazmin.
Dalam perkembangan lain, Eira kini muncul di kaca televisyen menerusi drama hebat berjudul Ramadan Yang Hilang. Drama yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 itu seolah-olah mengingatkan penonton terhadap drama Syurgamu Ramadan dalam slot yang sama yang pernah dilakonkan Eira pada tahun lalu.
Bezanya kali ini, Eira bukan ibu kepada anak-anak yang terpaksa meladeni hidup dalam duka. Memegang watak sebagai Zafira, dalam Ramadan Yang Hilang, dia dirundung nasib malang apabila adik angkat yang pernah menjadi kawan baiknya, Delisha berubah sikap menjadi seterunya.
“Masa dalam pantang, saya terfikir, alangkah bagusnya jika dapat kembali berlakon di bawah arahan Shahrulezad. Bagi saya, dia seorang pengarah yang hebat. Habis pantang, Shahrulezad terus tawarkan watak Zafira. Dia beritahu, sewaktu penulisan skrip lagi pelakon watak itu dibayangkan sebagai Eira.
“Apabila orang kata watak sedih dan perempuan malang begitu memang sesuai dengan saya, saya terima gelaran itu sebagai satu penghargaan. Namun, watak Zafira lain sikit. Semasa pertengahan siri itu nanti, penonton akan lihat perubahannya,” jelas Eira yang masih berada di lokasi penggambaran drama berkenaan.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Anak ubat sayu Eira"