Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Jadual padat Erra, Rozita dan Raja Azura


BULAN Ramadan yang tiba setahun sekali pastinya dijalani dengan penuh kesyukuran dan kenikmatan oleh umat Islam. Biasanya bulan Ramadan merupakan bulan rehat yang panjang untuk artis yang menghentikan sementara kerjaya seni demi memberi fokus kepada ibadah puasa.
Tidak ketinggalan, ada antara mereka yang mengambil kesempatan menunaikan umrah dan ada yang menjalankan perniagaan hanya pada bulan Ramadan.
Berbeza pula halnya dengan tiga orang pengacara sensasi program bual bicara Primadona, Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Raja Azura.
Menurut tiga bintang tersebut, sepanjang Ramadan, jadual kerja mereka bertambah padat dan ketat daripada biasa. Bahkan, mereka juga terpaksa menjalani ibadah puasa di set penggambaran program Primadona.
Erra bisnes hamper raya
Sudah menjadi kelaziman buat aktres, penyanyi dan pengacara jelita, Erra Fazira untuk menjalankan perniagaan hamper raya setiap kali bulan Ramadan selain merehatkan diri daripada segala aktiviti seni.
Bagaimanapun, tahun ini agak berbeza buatnya, apabila jadual kerjanya terlalu padat sehingga memaksanya mengurangkan jumlah tempahan hamper kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan semua pelanggannya.
"Tahun ini sangat berbeza. Selalunya bila tiba bulan Ramadan, saya akan berehat panjang dan fokus kepada perniagaan hamper raya. Namun, tahun ini saya ada beberapa hutang dengan produksi Erma Fatima selain sibuk di set penggambaran program Primadona, jadi sepanjang Ramadan saya akan bekerja.
"Niat di hati memanglah nak berehat dan memberi tumpuan pada ibadah puasa, tetapi kerja tetap didahulukan kerana sudah berjanji.
"Tahun ini, saya berasa sedikit sedih kerana perlu berbuka puasa pada hari pertama di set penggambaran Primadona, sedangkan saya selalunya berbuka puasa pada hari pertama dengan keluarga," kata Erra.
Menyentuh tentang makanan, kata Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 39, makanan wajib untuknya sepanjang bulan Ramadan adalah martabak yang akan dibelinya di bazar Ramadan.
"Saya suka martabak, selalunya saya beli sahaja di bazar Ramadan. Biasanya saya minta orang belikan, jika saya sendiri yang ke bazar Ramadan bukan sahaja martabak yang saya beli, tetapi tangan akan penuh dengan plastik makanan. Saya jenis rambang mata dan mudah tergoda dengan bau-bau makanan yang enak.
"Biasanya waktu berbuka saya lebih suka makan kuih sahaja. Selepas solat Maghrib baru saya akan makan nasi. Puasa bukan bererti kita boleh makan apa sahaja, tetapi harus kekal mengamalkan pengambilan makanan yang sihat," akuinya yang menjaga rapi soal pemakanan.
ROZITA CHE WAN sedikit terkilan kerana tidak dapat menunaikan umrah pada bulan Ramadan ini.
Bercakap tentang Ramadan bersama anaknya Engku Aleesya yang kini berusia empat tahun, jelas Erra, anak perempuan tunggalnya itu terlalu muda untuk menjalani ibadah puasa, bagaimanapun sebagai ibu, Erra tetap menerangkan ibadah tersebut kepada anaknya.
"Aleesya kecil lagi untuk berpuasa, tetapi saya selalu cerita kepadanya, apa itu puasa dan kenapa kita wajib berpuasa. Mungkin bila dia masuk enam tahun, dia sudah boleh belajar puasa separuh hari. Saya tidak akan memaksanya, kena juga lihat kemampuan anak itu sendiri, lebih baik kita ajar secara perlahan-lahan supaya dia rasa seronok untuk berpuasa," katanya.
Rozita wajib bersahur
Kekasih kepada pelakon Zain Saidin, aktres Rozita Che Wan, 40, pada mulanya berniat untuk menjalani ibadah puasa dengan menunaikan umrah di Mekah seperti tahun-tahun sebelum ini.
Bagaimanapun, disebabkan undang-undang baharu kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan jemaah wanita membawa mahram bermula tahun ini, Rozita atau mesra disapa Che Ta membatalkan hasratnya itu.
"Ramadan untuk saya tahun ini sama sahaja, cuma ralat juga tidak dapat ke Mekah untuk tunai umrah. Kalau boleh saya ingin beraya di sana, tetapi disebabkan undang-undang baharu yang memerlukan mahram tidak jadilah saya pergi. Siapa yang mahu teman saya ke Mekah, semua adik-beradik pun sibuk dengan hal masing-masing," katanya.
Selain itu, Che Ta juga sibuk di set penggambaran Primadona dan juga bisnes tudungnya di butik Padusi.
Terangnya, bulan Ramadan bukanlah bulan bercuti untuknya kerana dia sedar sebagai ibu tunggal kepada dua anak lelaki, dia harus berusaha untuk mencari pendapatan tambahan bagi menyambut raya.
"Kalau saya tidak kerja, siapa pula yang nak beri saya duit. Mahu tidak mahu, saya kena juga bekerja, tetapi saya tidak lupa pada ibadah puasa. Sama sahaja seperti orang lain yang tetap pergi bekerja dan juga berpuasa. Mungkin pada sesetengah artis, bulan Ramadan merupakan bulan rehat untuk mereka, tetapi tidak untuk saya.
"Jika saya tidak sibuk dengan penggambaran, saya akan sibuk di butik Padusi yang menjual tudung.
"Tambahan dekat hari raya, butik akan bertambah sibuk kerana jumlah jualan akan meningkat lebih daripada biasa, saya harus turun padang untuk membantu kakitangan. Seronok sebenarnya berniaga, saya bersyukur kerana perniagaan tudung berjalan dengan baik," ujarnya yang berkongsi perniagaan itu bersama adik-beradiknya yang lain.
Bercerita tentang dua anak lelakinya, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15, Che Ta memberitahu rutinnya pada bulan Ramadan bertambah apabila sudah menjadi tanggungjawabnya mengejutkan dua anak bujangnya itu bangun sahur.
"Sibuk macam mana pun, saya tetap wajib bangun sahur begitu juga dengan anak-anak. Kalau tidak sahur, esoknya saya rasa tidak bermaya (ketawa). Tahun ini, sepanjang Ramadan, ibu tinggal di rumah saya, jadi setiap kali sahur, kami pasti akan masak lauk yang baharu.
"Anak-anak saya tidak cerewet, apa yang saya masak mereka makan. Cuma saya sedih, biasanya setiap kali berbuka, kami sekeluarga akan berkumpul, seperti tahun ini adik-beradik semua merancang untuk berbuka secara giliran di rumah saya kerana ibu kami ada di sini.
"Kami sudah merancang untuk memasak bersama kerana banyak resipi masakan yang ingin saya cuba, tetapi saya pula yang sibuk," ujarnya yang mendapat tempat ketiga dalam program MasterChef Selebriti Malaysia 2.
Bagaimanapun, Che Ta memberitahu, dia tetap akan mencari hari yang terluang menghabiskan masa bersama keluarga dan akan mula bercuti awal untuk pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bagi menyambut hari raya.

ERRA FAZIRA terpaksa menolak tempahan membuat hamper kerana sibuk dengan penggambaran program bual bicara Primadona.

Raja Azura bangun pukul 3 pagi
Penyampai radio Sinar FM dan juga pengacara popular Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 41, sama seperti Erra dan Che Ta, namun dia bertambah sibuk apabila terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi pada bulan Ramadan untuk memasak dan mengejutkan tiga orang anaknya bersahur.
"Rutin harian saya bertambah padat, saya akan bangun pukul 3 pagi untuk memasak kemudian mengejutkan mereka bersahur sebelum menyiapkan mereka untuk ke sekolah dan saya juga harus berada di konti pada pukul 5.30 pagi kerana akan ke udara pada pukul 6 pagi.
"Selepas di konti, saya akan berkejar pula ke set penggambaran Primadona. Saya memang sangat sibuk, tidak sempat mengambil sebarang tawaran lakonan untuk raya. Fikir balik memang penat, tetapi sudah tanggungjawab seorang ibu, anak-anak harus diutamakan, penat saya boleh ditolak ke tepi," katanya.
Tambah Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku, anak-anaknya sukakan menu yang ringkas ketika bersahur tetapi juadah berbuka mereka wajib mendapatkan martabak hasil tangan Kak Engku sendiri.
"Saya beruntung kerana kerja pada pagi hari, jika tiada penggambaran Primadona saya sudah boleh berada di rumah dengan anak-anak pada waktu tengah hari. Setiap kali Ramadan menu wajib adalah martabak, bukan yang dibeli di bazar Ramadan, tetapi mereka mahu yang saya masak sendiri," ujarnya.
Meskipun sudah berpisah dengan suaminya, Adzmin Tan Sri Osman pada Oktober 2010, ibu kepada Megat Muhammad Raziq, 11, Megat Luqman Hakim, 10, serta Puteri Mia Maizurah, 7, mereka masih mempunyai hubungan yang baik dengan bekas suaminya itu.
"Kami masih berbaik seperti biasa demi anak-anak. Tiada apa yang perlu digaduhkan, bekas suami tetap bapa kepada anak-anak saya. Minggu lalu, kami telah keluar membeli-belah persiapan raya anak-anak bersama.
"Saya suka beli baju raya anak-anak awal kerana harga masih murah dan tidak perlu bersesak dengan orang ramai. Itu adalah rutin yang tetap kami teruskan meskipun kami telah berpisah. Anak-anak juga akan beraya di kampung halaman bapa mereka terlebih dahulu di Alor Setar, Kedah sebelum ke kampung saya," balasnya.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Jadual padat Erra, Rozita dan Raja Azura"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info