Atas sebab itu juga, Nora dan Fasha tiada masalah untuk sama-sama menghadirkan diri memberi sokongan ke majlis pelancaran koleksi baju pengantin milik adik kembar Rizal Ashram Ramli atau Jejai yang berlangsung di Grand Duchess, Fraser Place, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Nora yang kelihatan jelita dan seksi dengan gaun hitam belahan ke pangkal paha, dia dan aktres drama Chinta itu sudah lama berbaik.
Kenyataan yang sama dijawab oleh Fasha yang masih lagi kelihatan menawan biarpun tubuhnya agak berisi selepas melahirkan anak sulungnya itu.
“Saya dengan Nora sudah lama baik, malah kami banyak kali berjumpa setiap kali Jejai dan saya mengambil Rayqal mahupun ketika Nora menghantar anaknya ke rumah kami,” ungkap Fasha mengenai anak Nora, Putra Rayqal hasil perkahwinannya bersama Jejai sebelum ini.
Tutur Fasha lagi: “Apa pun yang terjadi, anak saya adalah adik kepada anak Nora. Jadi, secara automatiknya kami sudah seperti keluarga.”
Fasha pasang CCTV
Mengulas mengenai kehidupannya selepas memperoleh cahaya mata, Fasha berkata, menjadi ibu adalah pengalaman paling berharga sepanjang hidupnya.
Dedahnya, lakonan bukan lagi menjadi perkara utama, sebaliknya Rayfal kini menjadi keutamaannya.
Jawapan itu diberi tatkala dia disoal jika bidang lakonan tidak lagi memihak kepadanya disebabkan ramai muka-muka baharu yang menghiasi industri lakonan.
“Pendapatan saya bukan bertumpu pada berlakon sahaja. Saya juga mempunyai perniagaan salon rambut. Kalau tidak berlakon, saya akan lakukan perkara lain.
“InsyaAllah, saya dalam perancangan untuk menjalankan sebuah lagi perniagaan yang memfokuskan pakaian bayi dan juga pakaian lelaki,” ujarnya lagi.
Sedang menjalani penggambaran drama bersiri Tentang Hati di samping aktor popular Aaron Aziz, Fasha akui, berasa rindu dengan anaknya setiap kali berjauhan dengan anak kesayangannya itu.
|
“Ketika menjalani penggambaran, saya akan memantau Rayfal setiap setengah jam. Saya risau keadaan anak saya selepas melihat satu klip video pembantu rumah melambung bayi dahulu,” jelasnya.
Berkongsi sambutan Ramadan, tutur Fasha, dia lega kerana suaminya bukan seorang yang cerewet dari segi makanan.
Katanya, Jejai makan apa sahaja yang dimasaknya, cuma setiap hidangan perlu ada menu ikan bilis atau ikan goreng.
Nora berehat
Cerita sambutan Ramadan turut diajukan kepada Nora. Tahun ini, aktres berusia 31 tahun itu nekad untuk berehat sepanjang Ramadan.
“Bermula Ramadan tahun lepas, saya berehat daripada segala aktiviti seni selama sebulan. Begitu juga pada Ramadan tahun ini,” ujarnya yang berazam mengerjakan solat tarawih sepanjang Ramadan.
Begitupun, kata Nora, dia tidak akan menolak sebarang jemputan program amal.
Disoal apakah menu wajib ketika berbuka puasa, jawab Nora, setiap kali berbuka, dia akan menikmati martabak, kuih seri muka dan ayam panggang.
Sementara itu, mengulas mengenai koleksi baju pengantin Pu3 kepunyaan dua beradik kembar iaitu Putri Azalea Ashram Ramli dan Putri Yasmin Ashram Ramli, Nora memuji bekas adik iparnya itu sebagai orang yang berbakat dalam mereka fesyen busana.
“Pujian saya bukan disebabkan kami rapat. Pencapaian kedua-dua beradik itu sangat membanggakan,” ujar Nora.
Fasha turut memuji koleksi baju pengantin Pu3. Menurutnya, kesemua koleksi baju pengantin Pu3 biarpun nampak ringkas, tetapi cantik.
“Rekaan baju-baju pengantin mereka sangat berbeza dengan baju-baju pengantin yang terdapat di Malaysia,” ungkapnya.
0 Komentar untuk "Nora, Fasha hapus sengketa lama"