Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Pengalaman terindah Fasha Sandha

Fasha Sandha bersama pelakon dan krew drama Tentang Hati yang menjalani penggambaran di Hulu Langat, selangor, baru-baru ini.

TANGGUNGJAWAB baru sebagai ibu diakuinya sebagai yang terindah. Meskipun gelaran itu datang dengan tugas lebih berat, bagi pelakon ini tiada apa yang mampu menandingi perasaannya kini. Sungguhpun jadual kehidupan kini sedikit berbeza, ibu kepada Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram, empat bulan, percaya cintanya terhadap dunia lakonan tidak akan sesekali terpadam.

Malah tempoh 50 hari berpantang sudah cukup membuatkan dia kembali bersedia untuk berada di lokasi penggambaran.

Sebenarnya sewaktu Fasha yang terkenal dengan julukan pelakon air mata berkongsi gambar-gambar bekerja di set penggambaran berkenaan di laman sosial, ada yang musykil dengan kenyataan awalnya yang mahu berpantang selama 100 hari.

Mengakui masih lagi mengamalkan pantang, Nur Fasha Sandha Hassan, 29, percaya melalui hari-hari yang lebih aktif mampu mempercepatkan proses pelangsingan badan.

"Bila saya kata mahu berpantang 100 hari, apa yang saya maksudkan untuk mengamalkannya dari segi pemakanan.

"Saya tidak melanggar pantang. Malah sebelum memulakan penggambaran Tentang Hati saya sebenarnya sudah menyibukkan diri di Salon Chinta milik saya.

"Pada saya selain berpantang dari segi pengambilan makanan, kita juga perlu aktif untuk kekal sihat," katanya yang ditemui di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Memilih untuk meneruskan kerjaya lakonan selepas 50 hari bergelar ibu, bagi Fasha kesibukan bekerja mampu membantunya kembali mendapatkan berat ideal.

Malah sehingga kini dia sudah berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 13 kilogram (kg) sejak bersalin pada 15 April lalu.

"Saya masuk ke set penggambaran ini selepas 50 hari berpantang. Pada saya semakin saya aktif semakin cepat saya mampu mengurangkan berat badan.

"Sejak mengandung berat saya naik sebanyak 15 kg dan kini sudah berkurangan kepada 13 kg. Sehingga kini saya sebenarnya masih berusaha," katanya.

Memilih untuk melakonkan watak Azeya dalam drama bersiri Tentang Hati terbitan Global Station Sdn Bhd., menurut Fasha, sebab utama dia menerima tawaran itu kerana sudah disunting syarikat produksi itu sejak awal lagi.

"Memang ini pekerjaan pertama saya selepas bersalin. Sebenarnya pihak Global Station sudah menawarkan saya untuk watak ini tiga bulan sebelum saya bersalin.

"Selain itu antara sebab lain saya tidak melepaskan peluang untuk berada di dalam drama ini adalah kerana saya selesa untuk berkerjasama dengan pihak produksi dan pengarah abang Feroz Kader," katanya.

Hari indah

Bercerita mengenai hari indah sebagai ibu, Fasha akui tugasnya tidak banyak berbeza daripada ibu-ibu lain. Dapat merasai sendiri peranan yang dimainkan oleh seorang ibu, dia sesungguhnya sangat bersyukur.

"Tiada apa yang berbeza. Namun apa yang boleh saya katakan Putera Rayfal adalah seorang anak yang baik.

"Dia akan tidur pada pukul 11 malam dan terjaga pada waktu subuh. Jadi, waktu tidur itu tidaklah terlalu menganggu saya," katanya.

Ditanya perasaannya terpaksa meninggalkan anak untuk bekerja, bagi Fasha dia sangat beruntung untuk melepaskan tanggungjawab sebagai ibu seketika kepada keluarga serta pembantu di rumah.

"Sesungguhnya saya akui setiap saat fikiran saya hanya akan fikirkan anak. Sekarang juga saya fikirkan dia.
"Tetapi saya bersyukur dapat meninggalkan dia dengan keluarga dan pembantu rumah ketika keluar bekerja. Saya tahu dia seorang anak sihat dan tidak terlalu sukar menjaganya," katanya.

Sungguhpun jadual kerja sebagai pelakon agak berbeza dari kerjaya biasa, bagi Fasha itu juga bermakna dia tidak mempunyai kelebihan selepas bergelar ibu.

Kekal dengan komitmen bekerja,bagi Fasha dia tidak meletakkan sebarang syarat sewaktu bekerja.
"Sama seperti sebelum ini komitmen bekerja saya tidak berubah. Tiada istilah perlu ada waktu tertentu untuk pulang.

"Suami saya juga memahami pilihan kerjaya ini. Dia tidak pernah meletakkan apa-apa syarat, kecuali batas-batas yang perlu saya patuhi sebagai isteri, yang pada saya sebagai isteri ia adalah sesuatu yang setiap isteri perlu tahu," katanya.

-Utusan
0 Komentar untuk "Pengalaman terindah Fasha Sandha"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info