Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Polis tahan 4 suspek curi kereta


Polis tahan 4 suspek curi kereta
Nasrol (kanan) bersama-anggota melihat antara kenderaan yang dicuri oleh suspek berkenaan.
PETALING JAYA - Polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan curi dan samun kereta di sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus berkata, pihaknya berjaya merampas 12 kereta bernilai kira-kira RM240,000.

Menurutnya, kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 40 tahun itu ditahan secara berasingan pada 26 Jun dan pagi kelmarin.

“Ketika menjalankan rondaan pada 26 Jun lalu, pasukan unit mendapati dua lelaki seolah-olah mencurigakan dan pihak kami menahan kereta mereka bagi menjalankan penyiasatan,” katanya ketika sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.

Beliau berkata, selepas menjalankan siasatan ke atas dua suspek itu, polis berjaya merampas 10 kereta yang dipercayai dicuri sebelum ini.

“Kita percaya kereta ini adalah kenderaan yang dicuri suspek berkenaan di kawasan Petaling Jaya dan sekitarnya,” katanya.

Susulan penahanan dua suspek itu, polis berjaya menahan dua lagi individu kelmarin, yang didakwa turut terlibat dalam kegiatan curi kereta.

"Dua kereta iaitu Proton Satria serta Proton Perdana turut dirampas bersama mereka,” katanya.

Fadil berkata, tiga daripada empat suspek yang ditahan didapati positif dadah dan polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini.
-Sinar harian
0 Komentar untuk "Polis tahan 4 suspek curi kereta"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info