Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Tangisan awal Ramadan

GEORGETOWN - Ramadan yang baru bermula hari ini sudah pasti berbeza bagi Shariza Abdul Manan, 25, apabila suami yang selama ini menjadi peneman hidupnya sudah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

Lebih menyedihkan, persiapan untuk menghadapi Ramadan sudah dilakukan awal malah baju raya sedondon untuk mereka sekeluarga sudah ditempah sebelum tragedi memilukan kira-kira jam 2.45 petang semalam.

Suaminya, Muhamad Faizal Abdul Hamid, 28, maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah lori di Jalan Greenlane di sini.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu pejabat di sebuah kedai jualan kenderaan di sini baru sahaja menghantar isterinya ke tempat kerja di sebuah hospital swasta di sini sebelum motosikalnya bergesel dengan lori berkenaan.

Bapa mertua mangsa, Abdul Manan Othman, 52, berkata, kejadian berkenaan berlaku hanya beberapa minit selepas mangsa menghantar isterinya dan mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke pejabatnya yang terletak satu kilometer dari tempat kejadian.

“Mereka sudah lakukan persiapan untuk berpuasa malah baju raya untuk mereka sekeluarga termasuk anak perempuan yang berusia sembilan bulan juga sudah ditempah awal bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Walaupun sedih namun saya reda dengan apa yang berlaku dan saya berharap anak saya tabah menghadapi dugaan ini,” katanya ketika ditemui di unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.

Abdul Manan berkata, kali terakhir dia bertemu dengan menantunya itu petang kelmarin ketika menghantar cucunya ke rumah mangsa di Jalan Kurau di sini.


Tangisan awal Ramadan

Katanya, arwah sempat berpesan kepadanya supaya berhati-hati di jalan raya ketika dia mahu pulang ke rumah.

“Saya pelik dengan sikapnya kerana sebelum ini dia hanya bersalaman sahaja dengan saya tetapi kelmarin dia menunjukkan sedikit perubahan.

“Mungkin itu petanda bahawa dia bakal meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tempat kejadian apabila isteri mangsa dilihat meratapi kematian mangsa yang terbaring berlumuran darah berhampiran motosikalnya.

Mayat mangsa dibawa ke HPP untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa.

Difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak hari ini.

Dalam pada itu jurucakap polis berkata, kes itu masih dalam siasatan polis dan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar Harian
3 Komentar untuk "Tangisan awal Ramadan"

Innalillah..

Innalillahirojiun....

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info