Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Seorang Lagi Wartawan Amerika Dipancung


BEIRUT – Kumpulan ekstremis yang menguasai sebahagian besar wilayah di Syria dan Iraq mengeluarkan video bagi menunjukkan seorang lagi wartawan Amerika Syarikat dipancung.

Serentak dengan itu kumpulan terbabit memberi amaran kepada Presiden Barack Obama bahawa lebih ramai rakyat Amerika akan mengalami nasib sama selagi negara berkenaan meneruskan serangan udaranya terhadap mereka di Iraq.

Video yang menunjukkan kepala Steven Sotloff dipenggal itu dimuat naik dua minggu selepas kejadian sama ke atas seorang lagi wartawan, James Foley walaupun ibu Sotloff merayu agar anaknya tidak dilakukan sedemikian.

Jurucakap keluarga terbabit, Barak Barfi, berkata keluarga Sotloff sudahpun melihat video berkenaan tetapi pihak berkuasa belum menyatakan kesahihannya.

“Anggota keluarga Sotloff menyedari kejadian ngeri itu dan tidak akan membuat apa-apa kenyataan umum pada saat menyedihkan ini,” kata Barfi.

Sotloff, 31, yang berasal dari Miami adalah wartawan bebas untuk majalah ‘Time’ dan ‘Foreign Policy’, hilang di Syria pada Ogos 2013 dan tidak kelihatan lagi sehingga ditunjukkan di dalam video ketika kepala Foley dipenggal bulan lalu.

Berpakaian ‘jumpsuit’ berwarna oren dan berlatar belakangkan landskap Syria, Sotloff diancam dengan kematian dalam video itu kecuali Amerika menghentikan serangan udara terhadap pergerakan Negara Islam (SI) itu.

Dalam video yang diedarkan semalam bertajuk ‘A Second Message to America,’ Sotloff masih berpakaian ‘jumpsuit’ sebelum kepalanya dipenggal oleh seorang anggota pergerakan kumpulan ekstremis itu yang kini sudah menawan sebahagian besar wilayah di Syria dan Iraq dan mengisytiharkannya sebagai sebuah pemerintahan ‘Khalifah’.

Dalam video itu, pergerakan terbabit mengancam untuk membunuh seorang lagi tebusan, yang dikenal pasti sebagai warga Britain, David Cawthorne Haines. Setakat ini tiada maklumat diperoleh mengenai Haines.

Britain dan Perancis menyifatkan pembunuhan itu sebagai ‘tidak bertamadun’. PerdanaMenteri Britain David Cameron berkata beliau akan mempengerusikan satu mesyuarat tindakan dengan anggota kabinetnya hari ini bagi membincang perkembangan terbaru itu.

Di Washington, jurucakap Jabatan Negara Jen Psaki berkata penganalisis perisikan AS akan membuat penentuan secepat mungkin mengenai kesahihan video berkenaan. – AP
sumber: http://mynewshub.cc/
0 Komentar untuk "Seorang Lagi Wartawan Amerika Dipancung"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info