Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, dikenali Syafiq, 12, sedang mengayuh basikal pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat tarawih di Masjid Permatang Tok Mahat, Jalan Sempadan sebelum dihampiri seorang lelaki.
Syafiq berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an menaiki motosikal jenis EX5 itu kemudiannya meminta kanak-kanak berkenaan menunjukkan arah ke Hospital Parit Buntar.
Katanya, lelaki itu juga memujuk menaiki motosikal miliknya bagi memudahkan arah jalan.
“Tanpa ragu-ragu, saya meletakkan basikal di kawasan parkir kenderaan di masjid dan ikut lelaki itu naik motor, dia tak banyak cakap, cuma dalam perjalanan ke hospital tu, dia ada tanya umur saya berapa,” katanya ketika ditemui media di kediamannya, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian, Abdul Sukur Ahmad.
Syafiq, rasa sangsi timbul apabila lelaki berkenaan tidak menuju ke laluan hospital sebaik menghampiri pintu masuk hospital, sebaliknya melencong ke persimpangan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Parit Buntar.
“Saya menegurnya dan memaklumkan dia salah jalan, sebaliknya lelaki berkenaan terus ke hadapan sambil berkata ‘nanti U Turn’.
“Kemudian, saya nampak van putih dengan kelibat dua lelaki sedang menunggu di tepi jalan berhampiran padang sekolah, lagi tambah terkejut bila motor menuju ke arah van itu,” katanya.
Dia yang cemas dan takut kemungkinan menjadi mangsa culik nekad melompat daripada motosikal tersebut sebelum terjatuh dan menyebabkan kecederaan di bahagian lutut.
Syafiq berkata, meskipun dalam keadaan kesakitan, dia berlari sekuat hati ke arah jalan pintas antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang dan Jalan Sempadan untuk mencari perlindungan.
“Sewaktu sedang berlari, saya dengar bunyi deruman kuat motosikal mendekati dan mengejar saya. Saya berlari lebih kuat dan mencari kawasan tumpuan orang ramai sembunyikan diri.
“Mujur ada kedai makan, saya pun bersembunyi kat situ sebelum kembali ke kawasan masjid untuk mengambil basikal pulang ke rumah,” katanya.
Menurutnya, dia sering menasihati adik agar tidak mudah mengikuti orang tidak dikenali kerana dimaklumkan ada kejadian culik berlaku di Taman Seri Emas, Sungai Acheh sebelum ini.
“Namun, saya tidak sangka kejadian itu nyaris berlaku kepada saya dan bersyukur kerana gerak hati menyelamatkan diri daripada berkemungkinan jadi mangsa culik,” katanya.
Sementara itu, nenek mangsa, Rohani Hashim, 59, berkata, dia terkejut melihat Syafiq yang cemas dan pucat serta cedera di lutut ketika tiba di rumah pada jam 10.15 malam hari kejadian.
Menurutnya, dia segera bertanyakan keadaan cucunya itu dan terkejut dimaklumkan dia hampir diculik.
“Akibat trauma, Syafiq enggan menceritakan kejadian itu, malah dia juga tidak boleh tidur dan menggelisah sepanjang malam.
“Hanya pada waktu awal pagi, barulah Syafiq menceritakan kejadian sebenar dan saya segera memaklumkannya kepada bapa saudaranya untuk tindakan susulan,” katanya.
Rohani berkata, dia bersyukur Syafiq terselamat daripada cubaan diculik memandangkan cucunya merupakan anak yatim dan kini dibela sepenuhnya oleh dirinya.
Menurutnya, laporan polis juga akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Jawi, Nibong Tebal untuk tindakan susulan pihak berkuasa.
“Sudahlah ibunya meninggal dunia tujuh bulan lalu, saya bersyukur tidak kehilangan Syafiq pula kerana peluang kanak-kanak culik untuk ditemui semula amat nipis.
“Saya juga tidak sangka kejadian culik turut berlaku di kawasan pedalaman seperti Parit Buntar dan berharap pemantauan lebih kerap dilakukan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang,” katanya.
Pengerusi PSKK, Zaharuddin Mohd Ghazali berkata, pihaknya menyeru dan memohon ibu bapa agar lebih mengawasi pergerakan anak-anak terutamanya yang menghadiri tarawih di masjid-masjid seluruh daerah Kerian agar tidak mudah mengikut individu yang tidak dikenali sekiranya didekati mereka.
Menurutnya, PSKK turut mempergiatkan usaha membantu polis dalam memantau sebarang aktiviti mencurigakan termasuk kes cubaan menculik di sekitar daerah Kerian, Bandar Baharu dan Nibong Tebal.
sumber:kezoom
0 Komentar untuk "Lompat Motor Bimbang Jadi Mangsa Culik "