Seorang perompak bersalam dan meminta maaf daripada mangsa selepas dia dan dua rakannya merompak rumah mangsa di Bandar Sri Perani di sini pagi tadi.
Malah mereka memberitahu mangsa Mohd Hairi Tahir, 37, bahawa mereka merompaknya kerana mahu mencari makan.
Kejadian berlaku kira-kira 4.45 pagi ketika Mohd Hairi, isterinya serta anak mereka yang berusia dua tahun sedang tidur apabila dikejutkan dengan dentuman kuat di pintu bilik mereka akibat dihentak dengan tong gas.
“Saya membuka pintu bilik dan mereka menyerbu masuk. Saya sempat menjerit tetapi diacu dengan senjata. Mereka meminta saya menunjukkan tempat saya menyimpan wang dan barangan berharga kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
“Kira-kira 10 minit kemudian sebelum perompak beredar, seorang daripada mereka bersalaman dengan saya dan meminta maaf serta memberitahu mereka merompak kami sekadar untuk mencari makan,” tambahnya.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata para perompak yang bertopeng dan bersenjatakan parang serta pisau memasuki rumah peniaga tersebut melalui pintu belakang yang telah diumpil.
Perompak melarikan sejumlah wang, sebuah komputer riba, jam tangan, gelang dan telefonbimbit, katanya.
sumber – BERNAMA
0 Komentar untuk "Bersalam & Memohon Maaf Selepas Merompak mangsa"