Kempen Boikot McDonalds Berjaya Di Kalangan Umat Islam
Kempen memboikot rangkaian makanan segera McDonalds di kalangan umat Islam nampaknya berjaya dan menjadi apabila tiada seorang pun orang Islam ditemui dalam premis makanan tersebut.
Hasil pemerhatian MYNEWSHUB.MY di cawangan Jalan Kuari dan Taman Connaught, Cheras mendapati tiada satu pun kelibat umat Islam menjamu selera di McDonalds seperti sebelum-sebelum ini.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pelanggan yang masih setia mengunjungi dan menjamu selera di situ walaupun usaha boikot giat dijalankan di seluruh negara.
Rata-rata yang masih setia mengunjungi McDonalds ialah masyarakat Cina serta beberapa warga asing dari negara kulit hitam.
Rata-rata pelanggan yang ditemubual MYNEWSHUB.MY enggan diri mereka dikenali, mengatakan mereka tidak mengetahui kempen boikot ini dijalankan dan hanya menikmati makanan di situ seperti biasa, seperti hari-hari lain sebelum ini.
Menurut Siew Mei (bukan nama sebenar), dia masih mengunjungi premis tersebut kerana memang menggemari burger di situ.
Walaupun masih lagi menjamu selera di situ, Siew Mei mengatakan tidak bermaksud dia menyokong tindakan rejim Zionis yang terus-terus menganiaya penduduk Palestin.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan yang enggan dikenali mengatakan, dia langsung tidak peduli akan nasib penduduk di sana kerana masih banyak lagi masalah sosial di kalangan masyarakat Malaysia yang masih tidak dapat diselesaikan yang harus lebih diberi perhatian oleh penduduk di sini.
Kempen boikot McDonalds mula menjadi trending di laman-laman sosial sejak Selasa lalu dengan slogan ‘Hari Boikot McD Malaysia!!! Bermula 8 Ogos 2014 jam 7 pagi hingga 7 pagi. Boikot McD bermula Jumaat ini sehingga Zionis Israel seratus peratus keluar dari Palestin’.
Walau pun ianya merupakan pilihan masing-masing sama ada mahu memboikot atau pun tidak, namun tanyalah pada diri anda sendiri, tidakkah anda sampai hati melihat penderitaan penduduk Palestin terutama kanak-kanak dan kaum wanita yang tidak berdosa menjadi mangsa bedilan peluru dan roket tentera Israel?
Jadi untuk menamatkan keangkuhan rejim Zionis ini, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah berganding bahu agar segala usaha untuk memboikot produk keluaran Israel atau pun perniagaan yang membantu Israel akan terus berterusan sehingga mereka tidak lagi mampu untuk membeli senjata-senjata hebat yang mengalirkan darah saudara Islam kita di Palestin.
Ini bukan soal keagamaan dah, tapi ini melibatkan soal keprihatinan dan kemanusiaan sejagat! \
sumber– MYNEWSHUB.MY
0 Komentar untuk "Kempen Boikot McDonalds Berjaya Di Kalangan Umat Islam"