Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Pengurus Kedai KR1M Disamun 2 Lelaki Bersenjata


Seorang pengurus kedai melalui detik mencemaskan apabila disamun dua lelaki bersenjata di premisnya, Kedai Rakyat 1Malaysia, di Guntung Luar di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad berkata, dalam kejadian 4.30 petang itu, semasa mangsa yang berusia 27 tahun itu berada di premis, dua lelaki datang dengan berpura-pura mahu membeli barangan.

“Setelah selesai mengambil barang, semasa di kaunter, seorang daripada mereka telah mengeluarkan sebilah pisau dan terus meletakkan di pinggang sebelah kiri mangsa.

“Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu juga telah meminta mangsa menyerahkan barangan berharga serta wang tunai di mesin juruwang namun mangsa tidak menghiraukan permintaan suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya susulan itu, kedua-dua suspek berkenaan bertindak sendiri mengambil wang di mesin berkenaan dan turut merampas telefon bimbit, seutas rantai tangan emas milik mangsa serta pelbagai jenis rokok untuk jualan.

Katanya kesemua barangan yang diambil penjenayah tersebut telah dimasukkan ke dalamplastik sampah berwarna biru sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

Ab Rahman berkata, polis kini sedang memburu kedua-dua suspek yang bersenjatakan golok dan pisau. Semasa kejadian kedua-dua suspek yang dipercayai rakyat tempatan menggunakan pertuturan loghat utara. – BERNAMA
sumber: http://mynewshub.my
0 Komentar untuk "Pengurus Kedai KR1M Disamun 2 Lelaki Bersenjata"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info