Meteor Perseid di Bukit Tinggi, Pahang pada tahun 2002.
Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan pancuran Meteor Perseid dan Fenomena 'Supermoon' pada Isnin hingga Rabu depan.
Kenyataan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menyebut pada minggu kedua Ogos, bulan purnama paling besar dan terang dalam tahun ini yang berlaku serentak dengan pancuran Meteor Perseid bakal menyajikan pemandangan menarik di langit.
Pancuran Meteor Perseid terjadi apabila komet Swift Tuttle mengunjungi sistem suria setiap 133 tahun dan meninggalkan debu di sepanjang laluannya.
Komet Swift Tuttle akan menerjah atmosfera bumi pada kelajuan 225,300 kilometer sejam dan menghasilkan percikan cahaya di langit.
Menurut kenyataan itu, waktu terbaik menyaksikan pancuran Meteor Perseid ialah selepas tengah malam hingga Subuh dan menghadap ke arah timur laut.
Pancuran Meteor Perseid mampu menghasilkan banyak bebola api yang memiliki kecerahan seperti Planet Musytari atau Zuhrah.
Ketika keadaan langit gelap dan bebas daripada sinaran bulan, pencerap biasanya dapat menyaksikan lebih daripada 100 meteor sejam.
Kenyataan itu juga menyebut, Fenomena Supermoon pula berlaku apabila bulan berada pada kedudukan paling dekat dengan bumi iaitu 14 peratus lebih hampir dan 30 peratus lebih terang berbanding malam lain.
Bulan akan berada pada jarak 356,896 kilometer pukul 1.46 pagi manakala fasa bulan purnama berlaku pukul 2.09 pagi Isnin depan.
sumber: http://www.mstar.com.my/
0 Komentar untuk "Rakyat Malaysia Berpeluang Saksi Hujan Meteor Perseid Minggu Depan"