Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Bunga Aroma Buah-Buahan Ditemui Di Perak


Spesis tumbuhan baharu dengan bunga berbau sitrus yang dikenali sebagai Meiogyne kanthanensis ditemui di kawasan bukit batu kapur di Perak, tahun lalu.

Ahli taksonomi tumbuhan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim), Dr Ruth Kiew yang membuat penemuan itu di Gunung Kanthan berkata, hanya tiga pokok tumbuhan itu dikesan di kawasan itu.

Jurnal saintifik antarabangsa yang diterbitkan di New Zealand, Phytotaxa melaporkan bau bunga pada tumbuhan menarik.

"Bunganya ada aroma buah-buahan, seumpama limau, sitrus, laici, plum dan serai," katanya.

Laporan itu dihasilkan bersama Dr Kiew, Pengarah Biodiversiti Hutan Frim, Dr Saw Leng Guan dan Pegawai Penyelidik Frim, Joanne Tan serta Ummul Nazrah Abdul Rahman.

Ia juga menyebut penemuan dua lagi spesis di kawasan sama iaitu Gymnostachyum kanthanense dan Vatica kanthanensis.

Menerusi temubual dengan Tan, beliau memaklumkan pihak saintis gagal menemui tumbulan itu sebelum ini kerana bunganya hanya mengembang pada waktu tertentu.

"Kami cuba berada di kawasan berkenaan hampir setiap bulan, tetapi masih terlepas beberapa musim di mana bunganya mengembang," katanya.

Pengarah Serantau Flora dan Fauna Antarabangsa (Asia-Pasific), Tony Whitten berkata, penemuan itu bermakna pakar bidang itu sepatutnya membuat kaji selidik spesis endemik Gunung Kanthan dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Industri Lafarge Malaysia Bhd, Mariano Garciaberkata, penemuan itu akan dikaji bersama hasil kaji selidik terdahulu di kawasan itu.

Beliau berkata, pihak berkepentingan di negara ini akan dimaklumkan mengenai program pembangunan kuari serta kajian biodiversiti di mana syarikat itu terbabit dalam projek perlombongan batu kapur di kawasan tanah tinggi itu.
sumber: http://www.mstar.com.my/
0 Komentar untuk "Bunga Aroma Buah-Buahan Ditemui Di Perak"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info