KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain membuat permohonan maaf kepada pemain bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim, sekiranya terasa hati berhubung dengan foto yang memaparkan aksi mesra berpeluk dengan kekasihnya, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 43, menjelaskan bahawa aksi mesranya dengan Zandra tidak membawa sebarang maksud sebaliknya dia menganggap wanita yang juga merupakan pemain bowling negara itu sekadar teman lama.
"Saya terkejut apabila foto itu menjadi hangat diperkatakan untuk beberapa hari sedangkan saya dan Zaza (Zandra) tidak ada apa-apa hubungan pun.
"Foto itu diambil selepas kami terserempak antara satu sama lain selepas beberapa tahun tidak berjumpa, dan terus teruja untuk bergambar."Bagaimanapun saya memohon maaf sekiranya teman lelaki Zaza terasa dengan foto tersebut. Jujurnya, saya tidak ada niat apa-apa pun," jelasnya.
Anuar ditemui pada majlis minum petang pelancaran album Anuar dan Dayang Nurfaizah Live At Dewan Filharmonik Petronas di Life Centre di sini, Rabu.
Tambah penyanyi itu, dia berharap isu tersebut tidak akan timbul lagi kerana menyifatkan ia sengaja diperbesarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sementara itu mengenai album Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas(DFP), ia memuatkan sebanyak 14 buah lagu solo dan gandingan bersama Dayang, yang telah dirakamkan pada konsert amal di bawah anjuran kelab Sukan & Rekreasi Petronas (KSRP) di DFP pada Mei tahun lalu.
Anuar berkata album tersebut diterbitkan khas oleh Anuar Zain Network dan DN and AD Entertainment Sdn Bhd buat peminat-peminat yang tidak dapat menhadiri konsert tersebut."Sebenarnya saya cukup teruja menantikan respons para peminat mengenai album ini. Ia dibuat khusus buat mereka yang tidak dapat menyaksikan persembahan kami.
"Lebih-lebih lagi lagu-lagu yang dimuatkan merupakan lagu hits saya dan Dayang sebelum ini," katanya.
Antara lagu-lagu yang dimuatkan termasuklah Bila Resah, Mana Mungkin, Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Cinta Harus Memiliki, Aku Rindu Aku Jemu, Kau Bunga Cintaku, Ketulusan Hati dan Sedetik Lebih. - Mstar Online
0 Komentar untuk "Fuh Menarik :Peluk Zandra, Anuar Zain Mohon Maaf Pada Safiq Rahim"