JIKA dulu, hatinya terlalu 'geram' apabila mendapat tahu bekas suami, Ahmed Farriq Zainul Abidin bakal mendirikan rumah tangga, kini bila suami sudah berteman, bagaimana pula dengan dirinya sendiri, apakah Fiza masih sendiri? Atau sudah menikah senyap-senyap, seperti yang dilakukan oleh beberapa artis sebelum ini?
Sebenarnya pelbagai fitnah yang dikaitkan dengan Fiza sepanjang berstatus solo. Termasuk dikatakan bercinta dengan orang dalam industri, jurukamera dan seorang lagi pelakon lelaki popular yang sudah beristeri.
Bagaimanapun itu tidak lebih sekadar cerita yang tidak sahih biji butirnya. Lalu sesuatu yang agak mengejutkan juga apabila Fiza mendedahkan kepada Hits, pada bulan Jun lalu bahawa dia sepatutnya sudah mengakhiri zaman solonya. Jika menjadi, hari ini dia sudah bergelar isteri semula.
"Sebenarnya persediaan sudah pun dibuat. Saya sudah beli barang-barang keperluan untuk pernikahan kami. Pada mulanya kami memilih Jun kerana itu adalah masa yang sesuai bagi saya untuk berkahwin semula.
"Tetapi apakan daya, kami tiada jodoh. Perkahwinan tidak dapat diteruskan. Kami sehingga kini hanya mampu menjadi kawan baik sahaja," katanya dalam nada perlahan.
Akui Fiza, pada mulanya dia agak kecewa kerana perancangan yang tidak menjadi itu. Namun akhirnya, dia dapat menerima takdir bahawa hubungannya dengan lelaki itu tidak mampu pergi lebih jauh sepertimana yang di harapkan.
"Siapa lelaki itu, biarlah menjadi rahsia. Lagipun kami sudah tak jadi berkahwin dan kami sekarang hanya kawan.
"Semua sudah berakhir. Saya tak perlu ingat lagi. Sebenarnya keinginan berkahwin bukan atas permintaan anak-anak, mereka tidak pernah minta pun saya mencari suami baru.
"Bagi saya, kalau ada jodoh, saya terima sahaja. Biarlah dulu, belum masa untuk Fiza jelaskan semua itu. Kegagalan perancangan pernikahan kami itu memberi banyak hikmah sebenarnya. Buat masa sekarang, saya fokus dengan kerjaya dan anak-anak," kata wanita ini yang lebih popular dipanggil Fiza Elite.
Tidak jaga anak sendiri
Bercerita berkenaan anak-anak hasil pernikahan terdahulunya, Fiza berterus terang dia tidak memilih untuk menjaga dua buah hatinya itu sendiri.
Biarpun dia dan bekas suami mendapat hak penjagaan anak bersama, anak-anaknya banyak menghabiskan masa dengan bekas suami dan mentua di Gombak, Selangor kerana kesibukannya dengan aktiviti berlakon.
"Fiza tidak kisah anak-anak dijaga suami dan mertua kerana Fiza sendiri sibuk. Ada baiknya mereka dengan bekas suami kerana segala keperluan terjaga. Bekas suami dapat menjaga mereka dengan baik kerana dia lebih mampu.
"Walaupun Fiza tidak bersama kakak dan adik (panggilan untuk kedua-dua orang anaknya), tapi setiap apa yang mereka lakukan Fiza tahu. Fiza tahu pukul berapa mereka tidur, bangun, pergi sekolah dan kelas mengaji," kata ibu kepada Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, terus terang.
Ibu tunggal yang masih jelita dan bergetah itu meletakkan kemestian untuk tidak mengabaikan anak-anak sendiri.
Setiap kali habis penggambaran dan bila ada kelapangan, kedua-dua puteri itu akan diambil untuk dibawa pulang ke rumahnya di Damansara.
"Saat bersama anak-anak amat saya nantikan. Apabila bersama, waktu kami akan banyak dihabiskan dengan keluar berjalan-jalan di pusat membeli- belah The Curve, Damansara.
"Tidak hairanlah, ramai juga orang sekitar The Curve sudah mengenali kami kerana saya akan bawa anak-anak lepak di situ," ceritanya tersenyum.
Bukan trend
Gembira tengok penampilan baru Foza atau nama penuhnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim. Siapa sangka wanita berusia 32 tahun yang digelar 'super seksi' ini berubah dalam sekelip mata. Hari ini dia tampil bertudung litup di kepala.
Kata Fiza, keputusan yang dibuat itu bukan untuk main-main atau hanya trend semata-mata setelah melihat selebriti lain yang semakin ramai memakai hijab.
"saya tidak mahu orang kata saya memakai tudung kerana trend semata-mata. Ini bukan perkara main-main.
"Memang saya terfikir untuk bertudung sejak beberapa bulan ini. Saya tak mahu terburu-buru takut nanti saya melakukannya separuh jalan sahaja.
"Sebenarnya untuk berubah bukan setakat bertudung sahaja. Saya sedar ia memerlukan kita untuk berubah secara dalaman juga. Cukupkah amalan kita? Cukupkah sembahyang kita? Tetapi kalau hari ini, anda lihat saya bertudung… itulah dia," ujar Fiza.
Cerita Fiza lagi, perubahannya itu tidak dirancang. Pada malam 27 Rejab (26 Jun lalu) kira-kira pukul 2 atau 3 pagi secara tiba-tiba dia menerima satu perubahan. Sepantas itu juga, dia mencapai sehelai tudung dan terus melilitkan ke kepalanya, sebagai permulaan untuk dirinya berubah.
"Memang mengejutkan. Saya pun tidak sangka, di sebalik cerita saya tidak jadi kahwin, Allah beri hikmah yang lain pula apabila hati tiba-tiba menjadi nekad untuk berhijrah ke arah bertudung.
"Saya akan teruskan imej saya seperti ini. Saya harap apa yang dilakukan ini tidak hanya setengah jalan," katanya.
Apa yang menarik dikongsikan wanita ini ialah pada peringkat awal keluarganya sendiri tidak mengetahui perubahan yang dilakukannya itu.
"Semasa bertudung, ayah dengan mak memang tidak tahu. Masa itu, saya ada temubual di televisyen, lalu ayah terkejut melihat penampilan terbaru saya.
"Malam itu juga dia terus menghubungi saya dan mengucapkan tahniah kerana sudah berubah dengan memakai tudung," katanya sekaligus memberitahu tidak akan terlalu ekstrem dalam perbuatan sebaliknya berubah secara perlahan-lahan, sedikit demi sedikit.
-Utusan
0 Komentar untuk "Cinta tidak menjadi"