Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Drama Korea, bahasa Melayu

KESERASIAN kelihatan jelas dalam persahabatan Ezzaty (kiri), Jin-sung dan Hanez (kanan).

TIGA anak muda berjiwa seni lakon, menyantun bahasa dan pergaulan dalam satu acara. Seorang diterbangkan jauh dari Korea Selatan manakala puteri yang berdua lagi iaitu aktres kelahiran Malaysia sedang belajar selok-belok perjalanan seni negara yang sudah menempa fenomena di mana-mana.
Hanez Suraya, Kim Jin-sung dan Ezzaty Abdullah bersatu dalam rangka drama yang sama. Dengan tajuk Autumn Di Hatiku, drama 28 episod ini bakal menceriakan jiwa dan pandangan khalayak yang gemarkan sesuatu yang santai namun memberikan suasana cantik untuk ditonton.
Sejak 3 Julai lalu, drama bersiri arahan MJ Woo dan Edmund Yeo ini sudah menemui khalayak di siaran portal Tonton. Bersiaran lima minit setiap episod, drama ini ditayangkan pada setiap hari pada pukul 12 tengah hari.
Berlatarbelakangkan sebuah kafe di Shah Alam, drama ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Nina yang meminati dunia K-Pop sehingga dia bertemu dengan seorang lelaki Korea bernama Park Au-tum (Kim Jin-sung).
Nina berusaha keras untuk mendapatkan cinta Au-tum dan terpaksa melalui pelbagai cabaran. Dia memerlukan pertolongan rakan baiknya, Zidick lakonan Aiman Hakim. Drama ini turut dibintangi Anas Ridzuan.
Berkongsi budaya
Kata Hanez, aktres yang meningkat naik sejak drama Sedetik Cinta ini, dia banyak belajar tentang budaya Korea semasa terlibat dengan penggambaran drama ini. Menariknya, dia dapat mengenali selok-belok pergaulan dan sedikit sebanyak tentang Korea Selatan daripada Jin-sung yang ramai menggelarkannya JS.
"JS ini seorang yang suka berkawan. Jadi semasa penggambaran, semuanya berjalan dengan mudah. Tambahan pula, kami sudah melalui proses pembacaan skrip sebelum itu dan menemui titik hubungan kimia antara kami," ujarnya yang membawakan watak Nina.
Ezzaty juga dapat merasakan suasana yang sama. Proses penggambaran yang berlangsung selama lapan hari dijalani tanpa tekanan dengan semua pelakon yang terlibat sangat baik dan tidak sombong. Malah, dia bersyukur menjadi salah seorang pelakon untuk melengkapkan drama ini.
Buat JS yang membawakan watak Au-tum, kumbang berusia 27 tahun yang fasih berbahasa Melayu ini tidak merasakan perbezaan besar dalam budaya kerja. Katanya, segala-galanya hampir sama, bezanya dia seorang sahaja pelakon Korea yang berada di lokasi penggambaran.
"Kalau sebut tentang perbezaan, skala di Korea Selatan lebih besar berbanding di Malaysia. Di sana, lebih banyak kamera dan pasukannya lebih besar. Saya juga merasakan skrip dan cara berlakon juga tidak sama," ujar JS yang mengaku mempunyai masalah untuk menghafal skrip walaupun sudah boleh berbahasa Melayu.
Tidak obses K-Pop
Menyentuh tentang budaya, baik Hanez mahupun Ezzaty, mereka berasa beruntung kerana dapat mempelajari budaya luar. Ia merupakan pengalaman dan pembelajaran baharu buat mereka yang masih hijau dalam lapangan lakonan tempatan.
"Saya sebagai Nina perlu belajar bahasa Korea. Malah, saya juga dapat merasa memakai pakaian tradisional Korea iaitu hanbuk," ujar Hanez.
"Untuk watak Jaja yang obses dengan K-Pop, saya perlu mempelajari cara pemakaian orang Korea untuk sesuai dengan cerita. Jujurnya, saya sukakan lelaki Melayu yang berwajah Korea," ketawanya yang turut membawa seekor ular peliharaan bernama Baby ke sesi penggambaran.
Ironinya, walaupun cerita ini menerima penglibatan daripada seorang pelakon Korea Selatan dan mempamerkan orang tempatan yang gilakan K-Pop, ketiga-tiga pelakon ini mengaku tidak terikut-ikut dengan demam atau fenomena tersebut.
Segala pembelajaran dan kaji selidik hanya dilakukan atas nama pelakon dan karakter yang memerlukan mereka mendalami budaya Korea. Begitu juga dengan JS yang mengaku tidak minat dengan K-Pop dan wanita Korea yang dirasakan tidak mempunyai wajah dengan kecantikan semula jadi berbanding wanita Malaysia.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Drama Korea, bahasa Melayu"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info