Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Sherry Ibrahim ‘rujuk’ kerana wang?

SEKITAR dua setengah tahun yang lalu, wanita yang kini berusia 30 tahun ini mengambil keputusan untuk meninggalkan lapangan seni demi cintanya terhadap tugasan di awan biru bersama Qatar Airways.

Biarpun ketika itu namanya sedang mekar di lapangan seni, Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim nekad untuk kembali bergelar pramugari.




Namun seandainya sudah tertulis jodoh dan rezekinya di lapangan seni, Sherry akhirnya akur untuk kembali biarpun sebenarnya dia hanya sekadar ‘singgah’ untuk mengisi masa terluang dan bukan juga kembali kerana wang semata-mata.

“Kontrak saya dengan Qatar Airways tamat pada Mei tahun lalu. Dek kerana cuti yang terlalu panjang, kena pula orang seperti saya yang tidak boleh duduk diam, jadi sahabat saya, Rizal Jaafar membantu saya mendapatkan peluang berlakon drama.

“Saya pun fikir daripada tidak buat apa-apa, apa salahnya berlakon sementara menantikan sesuatu yang lebih baik dan besar dalam hidup saya. Dengan bantuan Rizal, saya dapat peluang membintangi siri Setia Hujung Nyawa arahan pengarah berkaliber, Amie Maziah,” katanya kepada Zass.

Akuinya, biarpun agak kekok pada mulanya, namun dia kembali menemui rentak dan menerima banyak tawaran lakonan.

“Saya pernah menyimpan hasrat untuk kembali menjadi aktres sebelum usia masuk ke angka 30 tahun.

“Alhamdulillah impian saya menjadi kenyataan dan selepas drama Setia Hujung Nyawa, saya mula terima banyak tawaran dan ada antaranya terpaksa saya tolak kerana kekangan waktu.

“Tidak lama selepas itu saya menerima tawaran untuk Teduhan Kasih. Pada mulanya saya tidak rasa apa-apa, tetapi selepas memasuki set, barulah saya terasa gentar untuk berganding dengan nama-nama besar seperti Adi, Nabila dan ke semua yang terlibat.

“Mujur mereka sangat membantu saya dan mengurangkan rasa debaran itu untuk menjayakan watak Iffa dengan baik,” ujarnya.

Penangan Teduhan Kasih

Menyentuh mengenai lakonannya dalam drama Teduhan Kasih yang sudah menemui titik noktahnya minggu lalu, Sherry mengakui dia amat terkejut kerana drama ini menjadi satu fenomena.

Malah, dia turut menerima tempias daripada populariti drama terbabit apabila sering menerima teguran apabila berada di luar.

“Saya rasa agak terkejut dan teruja apabila keluar orang menjerit memanggil nama Iffa dan beritahu saya mereka tidak pernah terlepas menonton drama terbabit.

“Ada juga yang kata dah lama tak lihat saya berlakon dan banyak pujian positif diberikan. Dari sisi lain pula, ia dapat membuang sisi lakonan saya sebelum ini yang banyak membawakan watak antagonis dan komedi,” jelasnya.

Sherry berkata, dia kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama terbaru terbitan Suhan Movies, Dia Tetap Ayah dan sebuah telefilem untuk RTM, Cinta Kapcai.

Selain itu, Sherry bakal terlibat untuk sebuah telefilem yang akan disiarkan Astro Prima pada bulan Ramadan ini.
 
Jangan kaitkan Ashraf Muslim

Baru sahaja kembali bertapak dalam bidang seni, Sherry terus diajukan kisah rumah tangga bekas kekasihnya, Ashraf Muslim.

Mengakui perkara itu sedikit mencalarkan reputasinya, akui Sherry, dia tidak gemar dikaitkan dengan kisah orang lain sementelah lagi Ashraf juga sudah mempunyai kehidupannya sendiri.

“Saya bukanlah ambil tahu sangat hal gosip-gosip. Apabila pertemuan pertama saya kembali ke lapangan seni bersama media dan saya ditanya mengenai perihal rumah tangga orang, ia agak ‘spoil’.

“Mana tahu mungkin ada salah faham yang timbul dan mungkin ada yang terfikir saya juga antara artis yang gilakan kontroversi,” katanya yang kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka dari Mauritius.

Bagaimanapun Sherry enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai identiti kekasihnya itu, tetapi terbuka berkongsi,

“Ya, saya sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang. Kami dah kawan lebih kurang setahun. Apa yang boleh saya katakan, dia hanya lelaki biasa,” katanya yang masih belum merancang untuk mendirikan rumah tangga.

-Sinar harian
0 Komentar untuk "Sherry Ibrahim ‘rujuk’ kerana wang?"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info