SENARIO industri perfileman tanah air kini dilihat begitu proaktif dalam menerbitkan filem-filem berkonsepkan aksi terutama apabila ia menyelitkan unsur gengsterisme.
Seperti filem KL Gangster, Kongsi, 8 Jam dan yang terbaru Langgar serta Lari, kesemuanya menampilkan babak pertarungan yang menuntut kemahiran tinggi tidak kira sama ada dilakonkan sendiri oleh pelakonnya mahupun pelakon aksi lagak ngeri atau stuntman.
Lantas, kemahiran menguasai ilmu seni bela diri adalah bonus bagi sesetengah individu memandangkan pengarah mahupun penerbit cenderung untuk menawarkan watak kepada pelakon yang boleh melakukan aksi stunt sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.
Bukan itu sahaja, malah situasi tersebut seolah-olah memberi lampu hijau buat pelakon terbabit untuk meletak harga yang lebih tinggi berbanding tawaran biasa, bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki.
Melihat kelebihan itu, pendatang baharu yang membintangi filem Kerat 14, Ali Arami Adzahar, 23, begitu teruja untuk mempersiapkan diri melakar nama sebagai anak seni yang versatil di pentas lakonan tempatan dan tidak keterlaluan, hingga ke peringkat global.
Sememangnya menggemari aktiviti lasak, jejaka tinggi lampai dengan ketinggian 182 sentimeter ini tekad untuk mengasah bakat lakonannya agar lebih baik walaupun telah berkecimpung selama tahun di belakang tabir produksi.
Berkongsi kisah menarik mengenai Ali, anak kelahiran Tapah, Perak itu adalah anak Melayu pertama yang memenangi bukan sekadar satu, malah sekurang-kurangnya tiga pingat emas dalam pelbagai pertandingan seni mempertahankan diri wushu yang umum mengetahui, ia dimonopoli oleh kaum Cina.
Bahkan, selain ke peringkat kebangsaan, Ali juga pernah membawa nama Malaysia ke pertandingan wushu peringkat antarabangsa di beberapa buah negara.
Stuntman menjadi pelakon
Terdahulu, berbekalkan ilmu bela diri yang dikuasai, Ali menggunakan kelebihan tersebut untuk berjinak-jinak di bidang seni, namun bukan sebagai pelakon, tetapi selaku stuntman.
Menurut jejaka yang dibesarkan di Batu Berendam, Melaka itu, kemahiran yang dimiliki akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencari rezeki, bukan sahaja untuk dirinya tetapi mahu dikongsi seisi keluarga.
"Saya sukakan sesuatu yang lasak. Sebab itulah saya mencintai dunia wushu kerana ia penuh dengan cabaran dan debaran terutama ketika waktu pertandingan. Bukan mudah untuk menguasainya.
"Sama seperti ketika menjadi stuntman, bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keberanian dan keyakinan tinggi untuk melakonkan aksi lasak yang diarahkan, "katanya.
Menariknya, disebabkan mempunyai kelebihan dalam seni bela diri yang begitu sinonim dengan kaum Tionghua, jejaka ini pernah menerima tawaran berlakon di samping aktor antarabangsa Hong Kong iaitu Aaron Kwok menerusi filem Detektif A.
"Setakat ini semua aksi berbahaya saya lakukan sendiri kerana mempunyai asas dan teknik sukan wushu yang dipelajari sebelum ini. Kemahiran itu telah membuka ruang kepada saya untuk melebarkan sayap sebagai pelakon di luar negara," katanya.
Bagaimanapun kata Ali, jalan yang ditempuh untuk mendapat tawaran berlakon di luar negara bukan mudah kerana terpaksa melalui pelbagai uji bakat sebelum diterima.
Bercakap mengenai pengalaman lakonan, Ali berkata, dia telah mula bergelar pelakon sejak berusia 15 tahun dan kebanyakan drama yang dibintanginya untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Mungkin banyak drama lakonan saya ditayangkan RTM menyebabkan ramai tidak menyedari kehadiran saya sebagai pelakon," jelasnya.
Sementara itu, Ali berkata, dia mahu mencipta nama di negara sendiri dan berharap dapat berlakon dalam filem dan drama arahan hebat pengarah terkenal di negara ini.
"Kerat 14 adalah filem pertama saya dan berharap ia akan membuka lebih banyak ruang kepada saya sebagai pendatang baru," jelasnya.
-Utusan
0 Komentar untuk "Idam watak lasak"