SETELAH sedaya upaya cuba menyelamatkan hubungan cinta, pasangan selebriti Nas-T dan Nabila Huda akhirnya terpaksa akur dengan perpisahan.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Nas-T berkata, ikatan persahabatan mereka masih lagi utuh walau pun hubungan cinta mereka tidak berjaya.
"Kami masih seperti dahulu, masih lagi berkawan. Cuma kini masing-masing sibuk dengan kerjaya membuatkan kami jarang keluar bersama," ujar Nas-T.
Tegas Nas-T, perpisahan tersebut telah mengajarnya supaya lebih berhati-hati ketika menjalinkan hubungan cinta kelak.
Bahkan dia tidak mahu terburu-buru dalam percintaan, sebaliknya lebih selesa untuk berkawan dan mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu.
Pun begitu, ia tidak bermakna dia sudah serik untuk bercinta dengan golongan selebriti.
Tidak mahu menoleh ke belakang lagi, tumpuan Nas-T kini adalah terhadap karier seninya. Akui semakin sibuk dengan penggambaran, Nas-T berkata, ia bukanlah masa untuknya bersedih atau memikirkan lagi perkara tersebut.
"Perkara lepas biarlah berlalu, usah dikenang lagi. Life must go on," katanya.
Dalam perkembangan terkininya, Nas-T baru sahaja selesai penggambaran telemovie berjudul Kemelut Rindu yang akan disiarkan Aidilfitri nanti.
-Sinar harian
0 Komentar untuk "Nas-T: Bukan masa bersedih!"