Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Nia Ramadhani curang?

TIGA tahun menyepikan diri daripada dunia seni selepas mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak tiba-tiba nama Nia Ramadhani, 23, kembali panas.

Semuanya gara-gara berita yang tersebar kononnya Nia curang dengan suaminya, Ardiansyah Bakrie selepas dia menemani Rezky Aditya yang juga seorang aktor menyertai sebuah acara perlumbaan jet ski di pinggir Jakarta.

Sudah pastilah kemunculan Nia yang sunyi daripada sebarang aktiviti seni itu mendapat perhatian. Tambahan pula kehadirannya itu di sisi lelaki lain dan bukan suaminya.



Bagaimanapun ketika dilontarkan persoalan hubungan istimewanya dengan Rezky, ibu kepada Mikhayla Zalindra Bakrie yang berusia setahun ini ternyata tidak cepat melatah.

Mungkin pengalamannya bergelar anak wayang sejak berusia 15 tahun membuatkan dia tenang saat memberi respons berhubung perkara tersebut.

"Dari dahulu lagi orang asyik salah sangka terhadap saya jika kerap dilihat bersama dengan rakan lelaki yang berlainan. Sebab itu ada banyak cerita yang bukan-bukan timbul.

"Memang saya akui lebih senang bersama dengan rakan lelaki berbanding perempuan. Banyak perkara susah menjadi mudah. Dan pandangan ini dibuat bukan atas alasan pilih kasih.

"Rezky adalah antara sahabat lama dalam industri yang rapat dengan saya. Kami banyak berkongsi cerita dan masalah sewaktu sama-sama berlakon dahulu. Dan (hubungan) kami tidak lebih daripada itu," tegasnya.

Nia pernah menjalinkan hubungan cinta dengan beberapa selebriti popular di Indonesia sebelum menamatkan zaman bujang dengan Ardiansyah pada 1 April 2010.

Antara artis yang terlibat ialah penyanyi Ariel Noah, Ressa Herlambang dan vokalis kumpulan Samsons, Bambang Reguna Bukit atau yang lebih akrab dipanggil Bams.

Dalam pada itu pemegang watak utama drama bersiri Bawang Putih Bawang Merah ini juga dilihat sentiasa menyediakan 'jawapan' kepada setiap tingkah lakunya yang menjadi bahan perbualan.

Meskipun ada ketikanya Nia berdepan dengan kesukaran sewaktu menyatakan untuk memberi penjelasan namun baginya tindakannya itu sudah cukup berbaloi untuk membersihkan namanya.

Tambahan pula Nia menyedari bahawa statusnya sebagai artis yang sudah berkeluarga bukan satu jaminan yang kuat untuknya kalis daripada dipalit cerita-cerita sensasi.

Hidup sempurnaDALAM perkembangan berkaitan Nia menyatakan rasa syukur kerana sudah berkeluarga walaupun ada yang mempertikaikan keputusannya untuk berkahwin pada usia muda satu ketika dahulu.

Tambahan pula sewaktu namanya sedang meniti populariti pastinya perkahwinan menjadi penghalang untuk meneruskan minat Nia dalam dunia lakonan.

"Saya tidak menyesal berkahwin muda. Bahkan saya rasa sangat bahagia dan selamat apabila kehidupan sudah sempurna. Sudah punya suami dan anak sendiri.

"Dan saya tidak akan lepaskan peluang untuk menikmati saat-saat bergelar ibu dan melihat Mikha membesar di hadapan mata.

"Ya, hidup saya sebagai seorang wanita pada hari ini semakin bermakna apabila sudah lengkap dan punya segala-galanya," kata Nia lagi.

-Utusan
0 Komentar untuk "Nia Ramadhani curang?"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info