KEBAHAGIAAN mengutip hari-hari indah saat kehamilannya sudah memasuki bulan keenam namun, Nurul Wahab, 36, tiba-tiba diselubungi emosi mendung. Luahan-luahan rasa seolah-olah sebagai satu peringatan kepada pihak-pihak tertentu, banyak tertera di laman Instagram miliknya.
Menjangkakan sesuatu yang tidak enak, ibu yang sudah mempunyai seorang anak gadis hasil perkahwinan pertamanya dahulu itu kemudian dihubungi untuk mendapatkan perkhabaran. Lunak suaranya mesra seperti tiada sebarang duka namun, hati kecilnya mudah diselak. Nurul beremosi sambil mengaku emosinya runtuh. Perasaannya berkecamuk antara kesal dan simpati.
"Saya cuma sedih, sebab itulah saya banyak memuat naik petikan kata-kata hikmah menerusi Instagram saya. Ada banyak perkara yang membuatkan saya sedih antaranya komen-komen negatif yang adakalanya agak melampau dilemparkan kepada saya.
"Sebenarnya, bukan saya seorang sahaja yang kena, ramai artis lain juga berdepan situasi sebegitu tetapi mungkin disebabkan dalam proses kehamilan begini, itu yang membuatkan emosi saya cepat tersentuh," katanya dengan nada kesal.
Tidak mahu memperincikan komen-komen negatif yang diterima olehnya, isteri kepada Eric Daniel Depp itu menjelaskan kebanyakan komen itu bersifat teguran yang melampau.
"Bukan tak boleh ditegur tetapi nada teguran itu terlalu kasar dan lantang seolah-olah kami ini teruk sangat. Orang yang beri komen itu pula berlagak macam terlalu sempurna. Semua benda yang kami lakukan tidak kena. Tunjuk salah dan tak tunjuk pun salah.
"Saya tidak marah cuma sedih kerana yang melemparkan kata-kata kesat itu orang-orang kita (Melayu). Saya simpati kerana ramai yang berfikiran negatif," katanya yang tidak berhasrat untuk menutup akaun Instagram miliknya.
Tambah Nurul lagi: "Mereka yang mengeluarkan komen-komen itu bukan peminatnya tetapi pembencinya."
Meleraikan emosi yang kusut, Nurul sebenarnya sudah bersiap-siap untuk meninggalkan tanah air. Esok, dia dan suaminya Eric akan berlepas ke Perancis untuk tempoh lebih sebulan. Merajukkah Nurul sehingga dia membawa diri ke luar negara?
"Saya bukan merajuk tetapi macam kebetulan pula. Ini rancangan saya. Sebelum usia kandungan ini tidak membenarkan saya ke mana-mana, tahun ini saya akan berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ibu bapa Eric di Perancis. Saya bukan membawa diri tetapi mahu mendalami bahasa Perancis dengan lebih efektif di sana. Saya mahu masuk kelas bahasa Perancis di sana, kalau di Malaysia saya hanya belajar tetapi tidak mempraktikkannya," jawab Nurul yang akan kali pertama berpuasa dan beraya di luar negara.
Bercerita tentang rancangan untuk berpuasa dan beraya bersama keluarga mentua, Nurul sudah menyediakan bekalan dan bahan-bahan untuk menyediakan masakan Melayu sempena hari raya nanti.
"Di sana sedang musim panas. Saya tidak pasti lagi bagaimana rasanya berpuasa untuk tempoh siang yang lebih panjang daripada biasa dan cuaca panas terik. Tetapi, itu semua terpulang kepada keadaan. Ada kelepasan jika puasa memudaratkan wanita mengandung.
"Mengenai hari raya pula, sebenarnya, Eric akan pulang setelah tiga minggu berada di sana. Dia akan beraya di Kuala Lumpur. Saya akan menghabiskan puasa dan raya bersama keluarga Eric sahaja," jelas Nurul yang akan kembali ke Kuala Lumpur dua minggu selepas sambutan Aidilfitri.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Nurul bawa diri ke Perancis"