Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Sarimah pilih coklat

SARIMAH amat mesra dengan para pekerja dan sering bertanyakan khabar mereka.

MELIHAT potensi perniagaan ini dalam kalangan selebriti, dia terus mengambil keputusan untuk menceburinya. Sungguhpun agak gusar pada mulanya, namun dia percaya minat yang mendalam bakal memudahkan urusan yang baru dimulakan ini. Mengambil masa hampir setahun untuk meletakkan produknya ini di hadapan, Sarimah Ibrahim akui cintanya terhadap S-Chocolates sebagai yang paling utama buat masa sekarang.

Sungguhpun S-Chocolates hanya berupaya mengambil pesanan secara online sahaja buat masa ini, Sarimah berpandangan jauh terhadap perniagaan tersebut. Mahu melebarkan bisnesnya sedikit masa lagi, Sarimah berharap untuk mempunyai sebuah butik pameran buat S-Chocolates.

“Sebenarnya sebelum saya memilih perniagaan ini, saya banyak buat kajian dalam kalangan artis-artis negara ini. Saya teliti perniagaan apa yang mereka selalu ceburi.

“Akhirnya saya memilih perniagaan coklat yang pada saya jarang selebriti negara ini mahu ceburi," katanya.
Mengakui meminati coklat sejak dari kecil, Sarimah berkata, memandangkan coklat sangat dekat dengan dirinya, dia percaya ia sedikit sebanyak memudahkan dirinya mengetahui pilihan pembeli.

Malah sebelum memulakan perniagaan ini juga, Sarimah kerap berada di luar negara bagi mencari ramuan coklat terbaik untuk S-Chocolates.

“Saya memang seorang yang meminati coklat, jadi menikmati coklat dari pelbagai ramuan yang berbeza membantu saya memilih coklat yang terbaik untuk S-Chocolates.

“Saya mengambil masa beberapa bulan untuk mencari jenis coklat yang sesuai bagi menghasilkan S-Chocolates, dan setelah yakin, baru saya mulakan perniagaan ini," katanya.

Menggunakan kelebihan sebagai selebriti, menurut Sarimah cara pengiklanan terus kepada pembeli memberi ruang buat dirinya meletakkan S-Chocolates berada dalam kalangan peminat coklat eksklusif.

Menurut Sarimah, memandangkan dia masih mengambil pesanan melalui dalam talian buat masa sekarang, maka permintaan S-Chocolates mestilah dalam kuantiti yang banyak.

“Selain sebagai penyampai di stesen radio Mix Fm, saya juga banyak melakukan tugas sebagai pengacara majlis. Secara tidak langsung, saya guna kelebihan itu untuk mempromosikan coklat saya kepada klien," katanya sambil memberitahu beliau juga menyediakan perkhidmatan penghantaran di kawasan Lembah Kelang.

Sungguhpun sibuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai penyampai radio melalui segmen ‘breakfast show’ di saluran Radio Mix Fm, Sarimah tidak pernah lupa untuk melawat tempat pembuatan S-Chocolates bagi memastikan kualiti coklat itu kekal sama.

“Saya akui memang agak sibuk dengan urusan kerjaya saya buat masa ini, namun saya akan tetap pastikan untuk melawat tempat pembuatan S-Chocolates.

“Selain memastikan kualiti S-Chocolates terjaga, ia juga membantu saya memastikan tiga pekerja saya sentiasa selesa bekerja dengan saya," katanya.

Bercakap mengenai rasa setiap coklat ciptaannya itu, menurut Sarimah, sungguhpun coklat masih menjadi bahan utama, namun dia akan menyesuaikannya dengan pilihan pelanggan di negara ini.

“Sebagai seorang penggemar coklat, maka setiap kali keluar negara, saya tidak melepaskan peluang membeli coklat.

“Melalui pengalaman sebegitu, saya cuba mencipta S-Chocolates yang pada saya bakal memuaskan hati peminat coklat di negara ini, “katanya.

-Utusan
0 Komentar untuk "Sarimah pilih coklat"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info