Seorang individu yang dipercayai penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, telah memuatnaik gambar pesawat berkenaan di laman Facebook sebelum ia berlepas di Amsterdam, Belanda.
Gambar tersebut dirakamankan individu itu melalui akaun Facebooknya dengan nama Cor Pan ketika para penumpang berada di ruangan menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol.
Dengan hanya satu muatnaik itu, gambar tersebut telah dikongsikan lebih 12,000 kali disertakan dengan pertanyaan pengguna Facebook lain di ruangan komen termasuk doa kepadanya.
Dalam bahasa Belanda, Cor Pan memuatnaik gambar dengan kapsyen yang begitu menyentuh hati, “Mocht hij verdwijnen, zo ziet hij d’r uit (Jika pesawat ini hilang, inilah rupanya,”.
Melalui perbualannya di laman Facebook, Cor Pan merancang untuk bercuti di Bali, Indonesia sebelum meneruskan percutian di Gili Trawangan, Lombok juga di Indonesia.
Pengguna media sosial turut membuka laman khas mengenang Cor Pan setelah perkongsian gambar dan cerita mengenai Cor Pan menjadi viral di media sosial.
Pesawat MH17 jenis Boeing 777 terhempas dipercayai ditembak jatuh kira-kira 60km dari sempadan Rusia ketika dalam penerbangan dari Amsterdam menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada awal pagi tadi mengesahkan bahawa pesawat yang terhempas d Ukraine telah disahkan oleh MAS sebagai pesawat milik syarikat penerbangannegara itu.
Menurut Najib dalam sidang media di Hotel Sama-Sama, penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengahari (waktu tempatan) dan dijadual mendarat di KLIA pada pukul 6.10 pagi waktu Malaysia.
“Laluan penerbangan pesawat itu telah diisytiharkan selamat oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.
“Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa telah menyatakan bahawa ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan,” kata Najib.
Menurut beliau, MAS juga mengesahkan bahawa pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan.
Penerbangan itu membawa sejumlah 298 orang – merangkumi 283 penumpang dan 15 anak kapal.
sumber– MYNEWSHUB.MY
0 Komentar untuk " Penumpang Belanda Muatnaik Gambar Pesawat MH17"