Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Warga Emas Enggan Report Polis, Maafkan ‘Gadis Peugeot Putih’


Lelaki warga emas yang dikatakan telah melanggar kereta Peugeot 208 milik seorang wanita di Kuantan pada Isnin lalu sehingga menyebabkan pemilik kereta tersebut mengamuk sambil mengeluarkan pengunci stereng sebagai ancaman kepada lelaki warga emas tersebut difahamkan telah memaafkan perbuatan wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abd Aziz Salleh berkata lelaki warga emas dalam lingkungan awal 60an itu memandu kereta Proton Wira dan secara tidak sengaja terlanggar kereta wanita dalam lingkungan akhir 20an berkenaan di sebuah tempat letak kereta di daerah tersebut.

“Wanita itu sudah pun membuat laporan polis berkenaan kemalangan itu namun lelaki tersebut tidak mahu membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan perkara tersebut malah diajuga telah memaafkan perbuatan wanita berkenaan,” kata Abd Aziz ketika dihubungi Astro AWANI.

Abd Aziz turut menjelaskan bahawa perkara ini masih lagi disiasat dan akan memanggil kedua-dua wanita dan lelaki warga emas berkenaan untuk tujuan siasatan.

Insiden kemalangan kecil yang berlaku pada tengah hari 14 Julai tersebut telah menaikkan darah wanita berkenaan menyebabkan dia mengeluarkan pengunci stereng dan cuba bersemuka dengan lelaki tersebut.

Kejadian tersebut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sehingga videoberdurasi 2.33 yang dimuat naik di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan juga YouTube menjadi ‘viral’ dan ‘trending’.

Malah, apa yang lebih dikesalkan dalam video berkenaan wanita itu turut memaki hamun lelaki berkenaan dengan kata-kata nista seperti “Ini kereta barulah bodoh!” sambil menghentak pengunci stereng yang dipegangnya itu ke kereta milik lelaki warga emas berkenaan.

Selain itu cacian seperti “I don’t care, pay me RM2000 now!”, “you very stupid!” dan kata cacian berbaur perkauman kedengaran di penghujung video tersebut.

Sementara itu dalam satu majlis yang berlainan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu pemberita bahawa polis akan mengambil tindakan terhadap wanita tersebut.

“Sudah tentu itu bukanlah cara yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah tersebut dan undang-undang tidak boleh diletakkan di tangan sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya telah melihat video tersebut dan wanita berkenaan ternyata menunjukkan sikapnya sebagai seorang pembuli jalan raya dan satu laporan polis akan dibuat terhadap wanita berkenaan.

“Tidak kiralah sama ada lelaki berkenaan ada membuat laporan polis atau tidak, kita akan mengambil tindakan terhadap wanita itu”.
sumber – ASTRO AWANI
0 Komentar untuk " Warga Emas Enggan Report Polis, Maafkan ‘Gadis Peugeot Putih’"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info