Kementerian Pengangkutan mengesahkan sebanyak 16 mayat warga Malaysia telah berjaya dikenal pasti oleh Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang berpangkalan di Belanda.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan Malaysia sedang berusaha membawa pulang mayat terbabit ke negara ini untuk diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing dalam tempoh terdekat.
“Sebagai tanda penghormatan dan menghormati privasi, kami dalam pertengahan perbincangan dengan waris mangsa berhubung soal penerimaan mayat apabila tiba di Malaysia dan semua permintaan mereka akan dipenuhi.
“Kami telah memaklumkan ahli keluarga kerajaan Malaysia akan memberi penghormatan penuh apabila mayat terbabit dibawa pulang,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Tiong Lai bagaimanapun meminta kerjasama pihak media bagi memastikan keluarga mangsa diberi privasi diatas permintaan mereka dan maklumat berhubung upacara pengebumian cuma akan diberi mengikut masa yang sesuai.
Jelasnya, negara bersedih dengan nasib mangsa tragedi tersebut, namun perlu bekerjasama bagi membantu proses ‘mengubati’ kesedihan itu dalam kalangan ahli keluarga semasa tempoh pengebumian.
sumber– mynewshub.my
0 Komentar untuk "16 Mayat Tragedi MH17 Warga Malaysia Dikenal Pasti"