Penyanyi dan penyampai radio, Aril Pilus akui ada memberi cadangan kepada isterinya, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin, 28, agar berhenti kerja sebagai pramugari di Saudi Arabian Airlines di Arab Saudi.
Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 29, berkata, dia telah memberi tempoh sehingga akhir tahun ini kepada isterinya itu. Jelasnya, keputusan tersebut dibuat bagi merancang untuk mendapat cahaya mata pada tahun depan.
"Ini bukan pilihan tapi desakan. Saya bagi tempoh dia bekerja hingga hujung tahun ini dan saya memang mahu anak pada tahun depan.
"Sejak berkahwin kami memang sukar untuk berjumpa kerana dia tinggal di Jeddah dan terpaksa ambil cuti panjang jika ingin pulang ke Malaysia.
"Jadi saya bagi tempoh hingga akhir tahun ini pada isteri supaya dia puas melalui kariernya dahulu dan tidak menyesal selepas berhenti kerja nanti," katanya ketika dihubungi Murai.
Menurutnya lagi, dia tidak menghalang isterinya untuk terus bekerja dalam bidang pernerbangan sama ada sebagai tenaga pengajar atau pramugari sambilan di syarikat penerbangan lain.
Ini kerana jelasnya, dia memahami minat mendalam isterinya dalam bidang tersebut yang diceburi hampir enam tahun lalu.
"Saya faham dia sangat taksub dengan kerjaya dia sekarang, dia boleh bercerita tentang enjin kapal terbang dan memiliki pengetahuan tentang industri penerbangan.
"Saya tidak akan halang dia untuk terus terlibat dalam bidang tersebut," ujarnya.
Mengulas tentang insiden pesawat MH370 dan MH17 yang berlaku kepada Malaysian Airline System Berhad (MAS), Aril berkata, dia sedar risiko yang dilalui isterinya ketika bertugas.
"Bukan setakat insiden terhempas malah risikonya lebih tinggi kerana isteri saya bertugas di negara Timur Tengah yang kian bergolak.
"Saya kini lebih menghormati kerjaya sebagai pramugari kerana tidak semua orang sanggup bekerja dengan risiko yang tinggi setiap hari," katanya.murai.com.
sumber: http://zamrispoon.blogspot.com/
0 Komentar untuk "Aril Cadang Kepada Isterinya Berhenti Kerja Sebagai Pramugari"