Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Pengurus Bank Mengaku Tidak Bersalah Ucap Ayat Perkauman




JOHOR BAHARU — Seorang pengurus bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini di atas tuduhan mengucapkan ayat berbaur perkauman kepada seorang pekerjanya empat bulan lalu.

Liau Choy Wan, 44 didakwa dengan sengaja mengucapkan ayat berbaur perkauman itu yang membangkitkan kemarahan pekerjanya, Zulkefli Zainal, 49 dan mengetahui perbuatan itu mampu menjejaskan keamanan.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan di Hong Leong Bank Berhad, Aras 5, Wisma Tiong Hua, Jalan Kris, Taman Seri Tebrau di sini pada pukul 6 petang, 8 April lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Md Zahar Ngah yang mewakili Liau memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain memberitahu jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September ini untuk sebutan semula kes.– BERNAMA
sumber:http://mynewshub.my
0 Komentar untuk "Pengurus Bank Mengaku Tidak Bersalah Ucap Ayat Perkauman"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info