Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

8 Bot Sulu Ceroboh Sabah, Seorang Cedera Di Tembak

 Seorang penceroboh cedera ditembak selepas sebuah daripada lapan bot warga Filipina cuba merempuh bot pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di perairan Pulau Selingan kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar ini, petang kelmarin.

Anggota pasukan peronda ESSCOM terpaksa melepaskan tembakan ke arah bot pam yang dinaiki suspek yang meluru ke arah mereka sambil menjulang sebilah parang.

Komander ESSCOM Datuk Abdul Rashid Harun berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an yang jatuh ke dalam air selepas botnya karam itu diselamatkan pasukan keselamatan.

Beliau berkata, suspek didapati mengalami kecederaan akibat tembakan di bahagian betis kiri dan buku lali sebelah kanan.

“Suspek dibawa ke Pulau Bakungan Kecil (kawasan Malaysia) bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital Dutchess Of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum kejadian tembakan itu, Abdul Rashid berkata, anggota tentera yang bertugas di Pulau Bakungan Kecil menerima maklumat mengenai kehadiran lapan bot pam dari Pulau Bakungan Besar, Filipina menuju Pulau Selingan.

Katanya, pasukan peronda ESSCOM dihantar ke lokasi dan memberi arahan kepada kumpulan penceroboh terbabit supaya beredar.

Menurutnya, tiga tiga das tembakan ke udara dilepaskan sebagai amaran namun hanya enam bot pam yang kembali ke perairan negara mereka manakala dua bot lagi tidak berganjak.

Kemudian, katanya, sebuah daripada dua bot itu meluru ke arah bot jenis
Boston

Wheleer 54 milik pasukan keselamatan dengan suspek cuba mengancam menggunakan senjata tajam dipercayai parang sebelum ia karam ditembak.

Difahamkan, sebuah lagi bot pam warga asing yang berada di sempadan Malaysia kembali ke perairan Filipina selepas kejadian tembakan itu.
sumber: kezoom
0 Komentar untuk "8 Bot Sulu Ceroboh Sabah, Seorang Cedera Di Tembak"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info