Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Bila Ustaz Kazim Bertazkirah Atas Star Cruise…



Jauh perjalanan, luas permandangan. Bukan sekadar menikmati panorama indah ciptaan Allah SWT tetapi turut menimba ilmu.

Itulah yang boleh ditafsirkan ketika mengikuti program Kembara Ustaz Kazim Elias dari Pulau Pinang ke Langkawi dan Phuket, Thailand, baru-baru ini.

Belum pernah rasanya melihat suasana masyarakat Islam belayar di atas kapal mewah StarCruises hanya untuk mengikuti kuliah dan tazkirah agama. Namun, Ustaz Kazim akhirnya merealisasikan impian itu.

Selama empat hari di atas kapal, nyata banyak menyalur ilmu dan menyuntik pengalaman baru kepada 768 peserta kembara. Secara tidak langsung, ia boleh ding­gap percubaan yang baik.

Jika selama ini mungkin segelintir peserta kembara hanya mengenali Ustaz Kazim menerusi programnya, Kalau Dah Jodoh di Astro Oasis, sudah pasti dalam pelayaran disertai itu mereka lebih mendekati ikon agama tersohor berkenaan menerusi kuliah dan tazkirah agama diatur.

Ustaz Kazim ketika ditemui berkata, beliau berpuas hati kerana kembara dalam kapal mewah itu mencapai matlamat disasarkan.

“Biarpun program kembara di atas kapal ini pertama kali dianjurkan, saya bersyukur kerana matlamat penyertaan peserta mencapai sasaran. Tidak sangka lebih 700 peserta berminat menyertainya.

“Selain itu, apa yang paling saya utamakan dalam kembara ini untuk semua peserta sudah tentu pengisian ilmunya memandangkan masa lebih lama di laut. Justeru, pengisian majlis ilmu di atas kapal ini semestinya menarik.

“Sokongan dan sambutan baik masyarakat turut diterima ketika lawatan di Masjid PadangLalang, Mukim Ayer Hangat, Langkawi dan begitu juga kunjungan ke sekolah agama Islam di daerah Phuket,” katanya.

Ustaz Kazim, apa yang beliau cuba ketengahkan ialah tiada sekatan bagi umat Islam untuk mengembara terutama menggunakan perkhidmatan pelayaran di atas kapal.

Katanya, mengembara dan melancong adalah aktiviti ilmu yang sangat bagus termasuk dalam berdakwah. Apatah lagi, bagi mengeratkan silaturahim.

“Menerusi program kembara ini, saya saÒgat gembira kerana sudah ramai peserta tahu menggunakan kompas untuk tentukan arah kiblat, begitu juga dengan solat jamak. Selain itu, peserta juga tidak sangsi dengan status halal makanan.

“Dalam membabitkan diri dengan aktiviti kembara atau melancong ke luar negara, masalahutama masyarakat Islam adalah mendapatk‡n makanan halal. Jadi, ia perkara yang sering dibimbangkan.

“Oleh itu, menerusi pelayaran ini saya membuktikan bahawa dengan kerjasama teliti diatur, status halal makanan disediakan tak perlu diragui. Melalui kerjasama dengan pihak kapal dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang juga aktiviti samak satu kapal dilakukan, “ katanya.

Kembara dianjurkan syarikat IntraTama Travel Consultant & Tours dan Pusat Pendidikan Al Barakah dengan kerjasama Star Cruises itu akan menjayakan kembara pelayaran Ustaz Kazim Elias 2.0 pada Januari tahun depan.

Ia menyasarkan jumlah peserta lebih ramai iaitu 1,000 orang. Program bermula dari 25 hingga 28 Januari 2015 itu juga membabitkan pelayaran di atas Star Cruises akan menjelajah lokasi seperti Pulau Pinang, Krabi dan Phuket di Thailand.

Sehubungan dengan itu, program kembara UKE ini akan disiarkan di Astro Oasis sebanyak empat episod mulai 3 Oktober nanti. 
sumber– Harian Metro





0 Komentar untuk "Bila Ustaz Kazim Bertazkirah Atas Star Cruise…"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info