Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Lewat Hadir Mahkamah, Isteri Awie Diperintah Bayar Kos RM500


Lagi cerita tentang penyanyi rock dan pelakon terkenal, Awie. Hari ini, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan isterinya, Rozana Misbun membayar kos sebanyak RM500 kepada Awie kerana gagal hadir ketika sebutan kes tuntutan jagaan sementara tiga anak mereka.

Memetik laporan Bernama, Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain membuat keputusan itu selepas Rozana, 36, dan peguamnya, Majdah Muda, tidak kelihatan ketika prosiding mahkamah bermula hari ini.

Bagaimanapun, Rozana muncul bersama-sama peguamnya kira-kira 20 minit kemudian. Dia memberi alasan kelewatan mereka kerana berurusan di kaunter untuk menyerahkan beberapa dokumen permohonan lain berkaitan kes itu.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan berhubung kos yang perlu Rozana bayar kepada Awie.

Mohd Amran berkata mahkamah memandang serius perkara itu kerana boleh menjejaskan prosiding mahkamah dan keadilan mana-mana pihak.

Pada prosiding hari ini, Rozana memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ,Nassir Abdul Aziz memberi hak jagaan sementara ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Awie, 46, pada 21 Julai lalu.

Namun, peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, membantah permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 17 September ini untuk mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum memutuskan perkara itu pada hari berikutnya.

Peguam Rozana, Majdah membuat permohonan untuk mengubah keputusan itu yang memberi Rozana hak melawat anaknya dua kali sebulan, iaitu pada minggu pertama dan ketiga selama dua jam bagi setiap sesi lawatan di rumah yang didiami Awie serta anak mereka.

Pasangan ini bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Pada 4 Julai lepas, Awie, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 
sumber:- MYNEWSHUB.CC
0 Komentar untuk "Lewat Hadir Mahkamah, Isteri Awie Diperintah Bayar Kos RM500"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info