Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Tiz Zaqyah 'tayang' teman lelaki?

"SAYA lebih tenang dan bahagia sekarang, bukan saya sengaja hendak menayang teman lelaki, tetapi adalah lebih baik begini daripada menyorokkannya," kata Tiz Zaqyah, 24, ketika bercerita mengenai keterbukaannya memaparkan gambar bersama 'buah hati' di laman sosial Instagram miliknya.

Bagaimanapun, pelakon Cinta Jangan Pergi ini menegaskan, dia tidak pernah berniat menunjuk-nunjuk teman lelakinya kepada sesiapa.

"Saya rasa apa yang dilakukan adalah perkara normal seperti pasangan bercinta yang lain. Lagipun, bila saya tidak berahsia tentang perkara ini, saya rasa semuanya 'okey' jer.

"Bila orang dah tau, ia memudahkan perjalanan cinta saya, malah peminat juga menyokong dan faham dengan tindakan saya. Ramai yang bagi respons positif bila saya kongsi gambar kami bersama di Instagram," katanya ada juga yang kurang suka dengan perkara ini.

Jelas Tiz, dia sebenarnya tidak pernah menganggap apa yang dilakukan atas dasar seorang selebriti.

"Adakala saya lupa bahawa saya ada peminat, dan apabila gambar dimuat turun, saya tidak fikir tentang perkara lain. Bagi saya masing-masing punya cara sendiri," katanya yang menjalin hubungan cinta bersama pemilik nama Daniel Haziq ini.



Serik berahsia

Berbicara lanjut mengenai cinta barunya, akui aktres yang mempunyai senyuman cantik ini, dia sebenarnya serik apabila terlalu berahsia dan sukar berkongsi tentang percintaannya yang lalu.

"Apa yang berlaku dahulu adalah pengalaman dan saya mengaku memang saya tidak suka berkongsi cerita peribadi sebelum ini, namun saya sedar jika saya jujur serta berterus-terang begini, lebih kurang tekanan yang diterima.

"Lagipun, tiadalah yang sibuk bertanya itu dan ini, sebaliknya, kini mereka lebih gemar mengambil tahu akan perjalanan karier saya pula," katanya pernah popular menerusi drama bersiri Nur Kasih.

Ditanya bagaimana reaksi Daniel mengenai perkara ini, ujar Tiz, kekasihnya agak kekok apabila gambar mereka dipaparkan di Instagram.

"Apapun, dia okey dan dapat menerimanya secara terbuka, pada saya kita ada pilihan, sama ada kita takut dihakimi atau takut jujur. Jadi baik terus terang je," katanya tiada lagi yang hendak mengorek tentang kisah cintanya kini.



Dapat restu keluarga

Hampir 11 tahun berkawan dan tiga bulan menyulam cinta, akui Tiz, dia gembira kerana keluarga Daniel dapat menerimanya dengan baik.

Kata Tiz, dia dan Daniel juga sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing.

"Kami sekadar berjumpa untuk berkenalan lebih rapat sahaja, tiada sebarang persoalan mengenai kahwin wujud dalam pertemuan ini,

"Rasanya jauh lagi hendak bincang hal kahwin, tapi kalau ada jodoh memang saya nak kahwin dengan dia, doakan yang terbaik untuk kami," beritahu Tiz, dia dan Daniel sebenarnya bersekolah menengah bersama.

Berkongsi sikap kekasihnya pula, ujar Tiz, dia terpikat dengan Daniel kerana personalitinya yang sederhana.

"Dia seorang yang sangat pandai mengambil hati saya, selain itu dia sering mengalah dan sentiasa memahami diri saya.

"Lagipun, sikap kelakarnya membuatkan saya yang seperti 'api' ini mudah dikawal, sebab itulah saya selalu menyamakan saya dengan 'api' dan dia pula 'air'," katanya ditemui sebagai duta kempen kesedaran kanser serviks May Cares For You.

Kempen kesedaran kanser

Tidak tertumpu kepada cerita cinta sahaja, duta May ini sempat berkongsi pengalaman mengenai kempen kesedaran kanser serviks yang diikutinya.

Jelas Tiz, ketika mula-mula ditanya mengenai kanser serviks, pengetahuannya hanya sekadar 30 peratus sahaja.

"Saya fikir saya masih muda dan mengikut sejarah keluarga pula, tiada seorang pun yang menghidap penyakit ini, sebab itulah kesedaran mengenainya sangat kurang, sedangkan penyakit ini pembunuh nombor dua rakyat Malaysia dan statistik menunjukkan wanita Asia paling ramai menghidapi penyakit ini," katanya mendapat pelbagai pengetahuan mengenai penyakit ini sejak terlibat dengan kempen itu.

Tambahnya, dia kini semakin berjaga-jaga lebih-lebih lagi mendapat tahu, kanak-kanak seawal usia 9 tahun turut dijangkiti penyakit ini.

"Takut juga bila mendengarnya, jadi saya mengambil langkah untuk lebih mengambil berat tentang kanser serviks kini," katanya mengikuti kempen tersebut yang dijalankan di lima universiti termasuklah Asia Metropolitan, Universiti Teknologi Mara (UITM), Universiti Malaya (UM) dan juga Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bercerita mengenai peranannya pula, ujar Tiz, selaku jurucakap, dia juga sempat berkempen bersama dan mengajak pelajar universiti supaya jangan malu untuk menjalani pemeriksaan lanjut kanser serviks.

"Tidak semestinya bagi yang sudah berumah tangga, malah remaja dan wanita perlu peka mengenai penyakit ini," katanya gembira berpeluang bertemu ramai pelajar sewaktu menjalani kempen ini.

Ambil Suntikan HPV Virus

Sementara itu, sewaktu berada di kempen May Cares For You, Tiz juga turut disuntik vaksin HPV Virus bagi mencegah penyakit ini buat kali pertama.

Akui teruja dengan suntikkan yang diterima, jelas Tiz, pada awalnya dia agak takut ketika menerima suntikan itu.

"Perasaan saya memang macam-macam, menggigil juga sebenarnya, lagipun masa nampak jarum tu memang tak boleh nak kawal perasaan takut.

"Pun begitu, selepas disuntik, rasa sakit tu takde pun, walaupun doktor kata tangan akan kebas, tapi saya rasa okey je," katanya sambil menyeru wanita agar segara mengambil suntikan vaksin itu.- Sinar Harian Online
0 Komentar untuk "Tiz Zaqyah 'tayang' teman lelaki?"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info