Kuala Lumpur: Empat rakyat Malaysia termasuk seorang wanita antara 2, 600 banduan yang ditahan di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Sumatera, yang terbakar selepas ratusan banduan merusuh sebelum melarikan diri, kelmarin.
Duta Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan, berkata pihaknya belum menerima maklumat lanjut berhubung status empat tahanan warga Malaysia itu, sama ada turut melarikan diri bersama 150 banduan lain selepas rusuhan.
Sehingga kini, kita belum dimaklumkan sama ada empat banduan berkenaan turut melarikan diri atau sebaliknya” Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan, Duta Malaysia di Indonesia
Keadaan kelam kabut
Katanya, keadaan di penjara di Medan masih kelam kabut yang menyebabkan maklumat terperinci mengenai status banduan rakyat Malaysia belum diperoleh.
“Ada empat banduan warga Malaysia di penjara itu termasuk seorang wanita yang ditahan atas kesalahan dadah.
“Sehingga kini, kita belum dimaklumkan sama ada empat banduan berkenaan turut melarikan diri atau sebaliknya. Pihak kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak penjara dan Jabatan Imigresen di Medan untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Syed Munshi berkata, pihaknya percaya maklumat terperinci mengenai empat banduan itu akan diperoleh dalam masa terdekat selepas keadaan kembali reda.
Dalam kejadian tengah hari kelmarin, 200 tahanan termasuk pengganas melarikan diri selepas merusuh dengan membakar penjara kerana marah bekalan elektrik terputus, selain tiada bekalan air.
Kejadian itu menyebabkan lima terbunuh membabitkan tiga tahanan dan dua kakitangan penjara.
Sehingga semalam, sekurang-kurangnya 1,000 anggota polis dan askar Indonesia memburu 100 tahanan termasuk 15 daripadanya pengganas selepas berjaya menahan semula puluhan banduan.
-Bharian
0 Komentar untuk "4 warga Malaysia antara terperangkap"