Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Dikejar wanita sejak zaman sekolah

SEJAK dari zaman sekolah menengah lagi, Aaron Aziz sememangnya sudah popular. Popular kerana apa? Mungkin kerana mukanya atau hatinya yang ikhlas berkawan dengan semua orang.

Tetapi kebolehan dan kehebatannya dalam bidang lakonan memang tidak dapat disangkal lagi. Sememangnya semua itu yang membuatkan dia popular di mata seluruh masyarakat baik di Malaysia mahupun Singapura.
Menurut pelakon kelahiran Singapura ini, semasa berusia antara 15 dan 16 tahun, dia pernah dikejar golongan wanita di sekolahnya semata-mata untuk mendapat tandatangannya.

"Saya tidak tahu kenapa mereka (wanita) mengejar saya. Mahu kata saya popular, tidak juga. Tetapi apa yang menarik mereka minta saya menurunkan tandatangan dalam kasut mahupun beg mereka.



"Kalau dilihat saya memang berkawan dengan semua orang dan saya tidak sombong.
"Kalau hendak tahu, saya juga pernah mencintai seorang gadis ketika berusia 13 tahun. Tetapi malangnya cincin yang saya hadiahkan sebagai tanda cinta telah dibuang olehnya," katanya bersempena pelancaran program biografinya yang akan disiarkan menerusi saluran E! Entertainment.

Aaron merupakan artis pertama di Asia berpeluang muncul dalam program berjudul E! Special: Aaron Aziz yang akan disiarkan pada 7 Julai ini pukul 8.30 malam.

Kisah 'popularitinya' dan 'cintanya' itu sebenarnya merupakan antara babak yang akan dikongsi dengan para peminat menerusi program tersebut.

Dalam program itu, turut didedahkan adalah kisahnya terlibat dalam kumpulan gengster.
"Dulu semasa zaman muda, semua benda mahu kita ikut. Perasaan itu memang ada. Dan jangan terkejut kerana saya pernah menyertai satu kumpulan gengster di Singapura ketika zaman remaja.

"Oleh sebab itu, saya sering dianggap lelaki ganas sehingga ditakuti ramai orang namun pengalaman bergaul dengan golongan itu telah banyak mengajar dia untuk mengenali masyarakat di sekeliling.

"Tetapi berkawan dengan orang jahat tidak semestinya kita akan jadi jahat. Berkawan dengan mereka banyak mengajar saya menjadi bijak mengenali orang di sekeliling," katanya.

Aaron berkata, 30 peratus rahsianya akan dikongsi dan didedahkan dalam program tersebut, terutamanya mengenai kisah-kisahnya pada zaman kanak-kanak dan remaja.

"Inilah peluang saya. Sebenarnya saya tidak pernah berahsia dengan semua. Secara jujur, saya tidak sangka diberi peluang untuk menceritakan hal peribadi dan karier dalam sebuah program biografi khas di saluran hiburan popular dunia.

"Saya rasa inilah satu penghormatan dan penghargaan buat diri saya," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Aaron bakal muncul menerusi program Raya Sampai Pengsan bersama Nabil Ahmad pada sambutan Aidilfitri ini di Astro Ria.

Selain itu, dia juga kini sibuk dengan penggambaran drama Tentang Hati (untuk saluran RTM) bergandingan dengan aktres Fasha Sandha dan bakal memulakan penggambaran filem Adam dan Hawa pada September depan.

Sementara itu, Aaron turut dipilih sebagai wakil Malaysia sempena kempen Visa go Hong Kong Super Shopper, anjuran Lembaga Pelancongan Hong Kong.

Untuk kempen tersebut, pelakon kacak itu memerlukan seorang teman untuk menemaninya membeli-belah di Hong Kong. Bagi peminat yang ingin menemani Aaron boleh menyertai pertandingan yang dianjurkan.

Kesemua penyertaan perlu dihantar ke http://bit.ly/HKSuperShopper dengan memberi jawapan kreatif kepada soalan, Kenapa Aaron Aziz perlu memilih saya sebagai pasangannya dalam pertandingan akhir Visa Go Hong Kong Super Shopper yang akan berlangsung pada 29 Julai hingga 1 Ogos ini di Hong Kong.

Hadiah bernilai RM77,000 (HK$200,000) dan pelbagai hadiah menarik yang lain harus dimiliki dan mulakan penyertaan anda sebelum 7 Julai ini.

-Utusan


0 Komentar untuk "Dikejar wanita sejak zaman sekolah"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info