Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Empat makmal di Fakulti Sains UiTM musnah terbakar

SHAH ALAM 15 Julai - Empat buah bilik makmal yang terletak di sebuah bangunan setingkat Fakulti Sains musnah dalam kebakaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam di sini petang tadi.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.15 petang ketika tiga pelajar bersama seorang pensyarah serta seorang pembantu makmal menjalankan ujikaji dalam salah sebuah bilik makmal.

Bagaimanapun, kesemua mereka sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari api merebak dari sebuah bilik makmal di tengah bangunan tersebut yang terletak di hadapan Kolej Perindu UiTM.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Mohd. Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.26 petang ini sebelum lima jentera bersama 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, asap hitam berkepul-kepul dan api sedang marak membakar bangunan setingkat tersebut.

"Pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd. Khairi, api merebak dengan cepat dipercayai disebabkan tindak balas bahan-bahan kimia yang terdapat dalam makmal berkenaan.

"Kita turut menghantar Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) ke tempat kejadian kerana khuatir terdapat bahan kimia berbahaya dalam makmal tersebut. Selain itu, kita sedang menyiasat punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami," katanya.

-Utusan
0 Komentar untuk "Empat makmal di Fakulti Sains UiTM musnah terbakar"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info