Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Azlee Mr Arrogant Rancang Nikah Di Kampung Halaman

Azlee Khairi, 25, yang namanya meletop dengan drama Love You Mr Arrogant di TV3 merancang untuk melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Dayang Norlelawati Puteh, 31 secara kecil-kecilan di kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak.

Bagaimanapun menurut beliau, ketika ini masih belum ada tarikh tepat lagi mengenai hari bahagianya.

Sebelum ini, umum tahun Azlee dan Norlelawati yang juga bertindak sebagai pengurus peribadi akan melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini. Persiapan kahwin juga kata Azlee sedang diuruskan bila ada kelapangan.

"Persiapan kahwin memang kami sudah lakukan sedikit demi sedikit. Ada masa saja, kami akan buat persiapan. Tarikh kahwin memang seperti diketahui sebelum ini sekitar hujung tahun. Ia mungkin boleh jadi bulan September, Oktober, November atau Disember.

"Tarikh nikah memang belum dapat ditetapkan dek komitmen seni saya. Jadi persiapan kahwin, mana sempat kami pulun buat. Rancangnya kami nak bernikah di Kuala Kangsar yakni kampung saya. Itu pun sekadar majlis kecil-kecilan.

"Ada kesempatan dan rezeki lebih, kami rancang adakan majlis resepsi di ibu kota selain negara kelahiran bakal isteri saya iaitu di Brunei. Semua kena tengok keadaan. Apa yang penting, biar selesai urusan wajib seperti nikah dulu," katanya.

Tambah Azlee, beliau berkemungkinan hanya akan memaklumkan rakan media saja mengenai hari pernikahan.

"Insya-Allah nanti kalau jadi majlis resepsi saya akan jemput rakan media,"katanya.

Ditanya mengenai bakal isterinya, mereka sudah bekerjasama secara profesional sejak setahun lalu.

"Tapi kalau tanya bila berputik cinta antara kami, saya sendiri pun tak sedar bila. Semua itu kuasa dan izin Tuhan. Dia (bakal isteri) mempunyai syarikat pengurusan acara sendiri dan nak dijadikan cerita kami banyak bercerita mengenai perniagaan.

"Daripada situ, wujud keserasian sehingga saya memilihnya untuk menguruskan kerjaya seni. Sepanjang mengenalinya, dia boleh saya katakan cukup memahami dengan menerima apa juga keadaan mendatang.

"Dalam hidup ini, bukan semua orang boleh terima diri kita seadanya. Jangan katakan orang luar, adik beradik sendiri pun belum tentu. Keikhlasan dan kejujurannya dirinya banyak menambat hati saya," katanya.

Mengenai kesediaan menuju ke gerbang perkahwinan, Azlee mengakui benar-benar bersedia ke arah itu.

"Saya sudah ada tanggungjawab untuk memikul dunia baru ini. Kalau nak kata tak ada duit nak kahwin, sampai bila pun ia akan jadi alasan. Nak tak nak kita kena lakukan sesuatu atau sekurang-kurangnya kita kena cuba merealisasikannya," katanya.
sumber: kezoom
0 Komentar untuk "Azlee Mr Arrogant Rancang Nikah Di Kampung Halaman"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info