Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Barisan Juruterbang MAS Setia Iringi Jenazah Rakan Ke Pusara



Barisan juruterbang Malaysia Airlines (MAS) begitu hiba tatkala menyambut ketibaan jenazah rakan setugas mereka Pembantu Juruterbang Ahmad Hakimi Hanapi, 29, di Masjid Putra, Putrajaya.

Ketika van jenazah Angkatan Tentera Malaysia tiba di pintu masuk masjid, mereka membuat dua barisan sambil menyaksikan van berkenaan diundurkan yang mengandungi jasad rakan mereka Allahyarham Ahmad Hakimi.

Jenazah Ahmad Hakimi tiba bersama-sama dengan jenazah pramugari Nur Shazana Mohamad Salleh, 31, ke masjid selepas dibawa dari Kompleks Bunga Raya selepas selesai Istiadat Penghormatan Jenazah mangsa nahas pesawat MAS penerbangan MH17.

Pesawat MH17 terhempas di timur Ukrainepada 17 Julai lalu, dipercayai akibat ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro-Russia sehingga mengakibatkan kesemua 298 orang penumpang termasuk anak kapal terbunuh.

Ahmad Hakimi merupakan pembantu juruterbang dalam penerbangan itu daripadaAmsterdam, Belanda untuk ke Kuala Lumpur dengan pesawat Boeing 777 ketika kejadian.

Bagi rakan-rakan juruterbang pemergian rakan sejawatan mereka itu lebih menghibakan apabila beliau meninggalkan seorang isteri dan seorang anak yang masih berusia sembilan bulan iaitu Abderrahman yang masih tidak mengetahui bahawanya bapanya telah tiada.

Jenazah Allahyarham Ahmad Hakimi dan Shazana tiba di Kompleks Bunga Raya dengan menaiki pesawat khas MH6129 selamat mendarat bersama 18 lagi jenazah lain kesemuanya warga Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.54 pagi hari ini.

Kesemua jenazah disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua jasad kakitangan MAS itu kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya dengan dihadiri kira-kira 1,000 orang ahli keluarga dan rakan-rakan.

Rakan juruterbang Allahyarham Ahmad Hakimi kekal setia mengiringi jenazah beliau sehingga selesai dikebumikan kira-kira pukul 3.30 petang selepas Solat Fardhu Jumaat.

Selain rakan juruterbang, rakan pramugari yang sejawatan dengan Nur Shazana turut mengiringi jenazahnya bermula dari KLIA sehinggalah selesai disemadikan. 
sumber: –Mynewshub.my
0 Komentar untuk "Barisan Juruterbang MAS Setia Iringi Jenazah Rakan Ke Pusara"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info