Berita Terkini

Himpunan Cerita-Cerita Menarik Terkini

Linda Rafar Kongsi Detik Terakhir Memen

Memen atau nama sebenarnya Rezaimen Kiflin Kifli anak sulung kepada selebriti Linda Rafar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana menghidap kanser perut sekitar 5.30 petang pada 5 Julai 2014.

Selama kehidupannya, itu ujian terbesar dalam hidup Linda, tambahan pula berlaku pada bulan Ramadan. Justeru, Syawal lalu berlangsung serba sederhana buat mereka sekeluarga. Mungkin sukar buat Linda melupakan memori bersama anaknya yang periang. Apatah lagi, arwah Memen seorang yang manja.

"Memen jangan takut. Allah sayang Memen, Mama pun sayang Memen. Mama ada kat luar. Semua orang pun ada di luar bersama Mama. Jangan risau ya. Bawa mengucap," begitu pinta seorang ibu yang membahasakan dirinya Mama, pada detik-detik terakhir kehidupan anak lelakinya yang baru berusia 12 tahun. Permintaan itu dibuat si ibu sebagai dorongan semangat agar si anak terus bertahan melawan sakitnya. Dia tahu, situasi penyakit si anak semakin memburuk akibat kanser, namun dia kekal dalam harapan agar si anak terus hidup dan menceriakan kehidupannya seperti sediakala. Namun, hari ini, permintaan itu hanya tinggal kenangan dalam diri Linda Rafar. Pada tanggal 5 Julai 2014, 'Memennya' telah pergi. Pergi yang tidak akan akan kembali lagi.

“Kembalinya Memen menemui penciptanya terlebih dahulu daripada saya memang sukar untuk diterima. Sepanjang dia berdepan dengan sakitnya, sayalah orang yang sentiasa berada di sisinya, tidak sesekali meninggalkan dia.

“Perit jerih saya berusaha untuk membuatkan anak saya sihat semula hanya Tuhan sahaja yang tahu," kata Linda dalam satu pertemuan pagi Rabu lalu di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Berkongsi keperitannya untuk mengetahui penyakit arwah anak pada awalnya, Linda memberitahu dia telah berusaha sampai ke tahap maksimum setelah anak itu disahkan menghidap penyakit kanser perut.

Banyak cara telah dilakukan, berhabis wang ringgit bukan kepalang. Malah dia turut mengambil keputusan menggunakan perubatan alternatif melalui rawatan tradisional.

Luluh hati wanita berusia 36 tahun ini. Dia hanya mampu termenung dan berfikir bagaimana untuk memulihkan kesihatan anaknya. Lagipun, pihak hospital tidak memberitahu berapa lama lagi jangka hayat anak kesayangannya itu.

“Sungguh, saya hanya mahu dia baik dan kembali sihat. Apabila dia (Memen) bertanya, saya hanya mengiyakan bahawa dia akan sihat.Dia juga pernah bertanya kepada saya kenapa dia yang perlu terkena penyakit itu?

“Apa yang saya buat, saya banyak memberi kata-kata semangat supaya dia menjadi lebih kuat. Alhamdullilah, anak saya sememangnya seorang kanak-kanak yang kuat. Dia masih mampu bermain dan bergurau biarpun bertarung dengan penyakit tersebut pada ketika itu.

“Malah, ketika ususnya diletakkan di luar perut, dia sering bertanya bila agaknya usus itu akan dimasukkan kembali. Tapi, sudah namapun budak, dengan semangat untuk pulih yang tinggi yang ada pada dirinya membuatkan dia melupakan semua persoalan itu," kata Linda sebak.

Menyambung kembali cerita mengenai kegigihannya menjaga anak sepanjang di hospital, perkara yang tidak mungkin Linda lupakan adalah ketika anaknya meminta air kerana sesak nafas.

"Masa itu, saya tidak tahu untuk berbuat apa sedangkan pihak hospital melarang saya memberikan dia air.

“Bayangkan perasaan saya masa itu. Memen minta untuk minum air. Sebagai ibu, takkan saya mahu biarkan permintaannya berlalu begitu sahaja. Tanpa menghiraukan pesanan pihak hospital, saya turutkan juga permintaan dia, saya berikan dia air, seperti yang dia minta.

“Saya masih boleh ingat, bagaimana wajah dia ketika itu. Dengan cepat sekali, dia meneguk air yang saya beri itu. Dia minum sebanyak tiga kali. Dan, beberapa minit kemudian, akhirnya dia sudah tiada, Memen saya sudah tiada lagi di dunia ini," ujar Linda sedih.
sumber;kezoom
0 Komentar untuk "Linda Rafar Kongsi Detik Terakhir Memen"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info